Empangan yang memuatkan dua juta liter air terpaksa dikeringkan selepas seorang pegawai kerajaan mengeluarkan arahan untuk ia dipam keluar.
Difahamkan, pegawai kerajaan itu bertindak sedemikian kerana mahu mengambil telefon bimbitnya yang terjatuh ketika mahu berswafoto.
Apabila penduduk tempatan yang menyelam gagal menemuinya, pegawai itu mengarahkan agar empangan dikeringkan menggunakan pam diesel.
Proses mengepam keluar air itu mengambil masa tiga hari dan pada saat ditemukan, telefon bimbit ‘mahal’ itu sudah tidak boleh berfungsi.
Kerja-kerja mengeringkan empangan itu hanya dihentikan selepas pegawai dari jabatan air dan saliran hadir kerana menerima aduan.
Empangan ketika kerja mengepam air dimulakan
Tidak bertanggungjawab, Rajesh Vishwas yang bekerja di kawasan Kanker, Chattisgarh, India itu kemudian digantung tugas.
Menyalahgunakan kuasa, Vishwas mendakwa kononnya telefon bimbit miliknya itu mengandungi data sensitif kerajaan.
“Dia telah digantung sehingga siasatan diselesaikan. Air adalah sumber penting dan ia tidak boleh dibazirkan seperti ini,” kata Pegawai Daerah Kanker, Priyanka Shukla.
Menafikan segala tuduhan, Vishwas berkata bahawa dia mengepam air tersebut setelah mendapat kebenaran daripada pihak atasan.
Setelah disiasat, Vishwas didapati telah mengepam air melebihi dari jumlah yang dibenarkan iaitu sekitar tiga hingga empat kaki air sahaja.
Baca juga: Ultraman dah kahwin!