PASLeaks : Akhirnya Ismail Sabri jawab

PASLeaks : Akhirnya Ismail Sabri jawab.Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan tidak mengetahui mengenai kesahihan dokumen yang digelar PASLeak, yang dikatakan mendedahkan taktikal politik Perikatan Nasional (PN) merancang menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bagaimanapun, Perdana Menteri tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu.

“Kita pun tidak tahu dokumen itu betul atau tidak,” katanya kepada pemberita hari ini.

Perdana Menteri ditemui selepas Perasmian Sesi Taklimat Umum dan Pelancaran Buku Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Satu dokumen yang didakwa minit mesyuarat sebuah parti politik yang mendapat jolokan ‘PASLeak’ didakwa mendedahkan taktikal politik PN merancang menjatuhkan UMNO dan BN sebelum PRU-15.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, ketika ditemui berkata, dokumen didakwa sebagai PASLeak itu disifatkan sebagai cubaan pihak tertentu yang mahu memecahbelahkan muafakat antara parti politik Melayu.

Beliau yang menafikan kesahihan isi kandung dokumen PASLeak itu berkata, ia juga perbuatan pihak yang mahu mengaut ‘keuntungan’.

“Dia orang tak ada kerja lain la tu. Orang tak ada kerja lain nak bagi laku berita, berita pun nampak tak berapa nak laku.

“Yang keduanya, kadang nak bagi laku (saluran) YouTube dia supaya orang bayar.

“Yang ketiga, nak mematahkan muafakat dalam kalangan parti politik Melayu kita, dalam kalangan Muafakat Nasional Perikatan Nasional,” katanya.

Idris berkata, sebagai pemimpin tertinggi PAS, mesyuarat kepemimpinan tertinggi parti itu tidak pernah membincangkan mengenai dakwaan dalam dokumen PASLeak itu.

Semalam, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin menafikan wujud perbincangan dalaman untuk menjatuhkan UMNO dan BN seperti yang didakwa terkandung dalam dokumen minit mesyuarat yang tersebar.

Sebelum itu, Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dilaporkan berkata dokumen minit mesyuarat yang didakwa mengandungi maklumat sulit berkenaan sebagai ‘sampah’, selain mengakui berasa hairan kerana ada pihak yang mempercayai ‘kesahihan’ dokumen terbabit.

TONTOn :

BACA:

Bantuan khas: Senarai penerima yang layak terima RM1,000 hujung bulan ini

Pemuda Kelantan didakwa rogol gadis 15 tahun, sebar pula gambar kepada ayah mangsa