PAS tak pernah serang UMNO, hanya cubit sayang pada Presiden

PAS tak pernah serang UMNO, hanya cubit sayang pada Presiden

Ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) dianggap berdepan situasi bagai telur di hujung tanduk, pemimpin PAS tetap berpandangan positif bahawa parti itu berperanan sebagai ‘pendamai’.

Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini memberi gambaran mereka kekal menjadi perantara buat Bersatu dan Umno yang kelihatan berseteru sejak sekian lama.

“PAS sentiasa menjadi pendamai sebab itulah PAS tidak pernah serang Umno.

“Hanya sedikit cubit-cubit sayang terhadap presiden Umno yang menggerakkan usaha menarik sokongan (terhadap PN), itu sajalah,” katanya pada sidang media di Serdang, Selangor.

Petikan sidang media itu dikongsikan menteri perusahaan perladangan dan komoditi itu di media sosialnya petang ini.

Untuk rekod sewaktu menjadi pembangkang PAS menandatangani piagam Muafakat Nasional sebagai kerjasama rasmi dengan Umno.

Bagaimanapun selepas Pakatan Harapan dijatuhkan melalui tindakan beberapa ahli parlimen yang berpaling tadah, PAS menyertai Bersatu untuk membentuk PN.

Menjadi satu daripada parti komponen PN, langkah itu dilihat ‘melukakan’ Umno kerana dibuat tanpa berunding terlebih dulu.

Pada masa sama PAS konsisten mendakwa mereka adalah penghubung bagi menyatukan Bersatu dan Umno.

Terdahulu Mohd Khairuddin ditanya sama ada PAS sedia menjadi pendamai antara parti dalam PN.

Malaysiakini hari ini melaporkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan meletak menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong esok.

Langkah itu diambil selepas Muhyiddin gagal menarik sokongan ahli parlimen rentas parti bagi berada di belakangnya.

Mohd Khairuddin yang juga anggota parlimen Kuala Nerus berkata, PAS juga menjadi jambatan kepada parti-parti utama Melayu.

Dalam mesyuarat yang diadakan PAS semalam, katanya, mereka bersetuju untuk mempertahankan PN dan pada masa sama memperkukuhkan Muafakat Nasional.

“Bagaimana kaedah memperkukuh Muafakat Nasional itu adalah kerja dalaman PAS yang tak boleh didedahkan kepada umum,” katanya.

COMMENTS