Parlimen tetap ditangguh, ramai ahli Parlimen berisiko atas faktor usia – Takiyuddin

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan sidang Parlimen ditangguhkan bagi membolehkan usaha kerajaan memerangi pandemik Covid-19 berjalan dengan lancar.
“Ahli Parlimen sebagai petugas barisan hadapan bekerjasama tangani Covid-19 di kawasan masing-masing dan kerajaan serius merangka strategi bendung penularan wabak ini,” katanya.
Takiyuddin berkata, pihaknya juga tidak mahu merisikokan ahli Parlimen yang rata-ratanya boleh dikategorikan sebagai kumpulan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.
Menurutnya, daripada 220 ahli Parlimen, 77 daripadanya berusia 61 hingga 69 tahun, 19 berusia 70 hingga 79 tahun dan empat lagi berusia 80 tahun ke atas.
“Hampir sebahagian ahli Parlimen adalah kumpulan berisiko…jadi kita tidak mahu mereka terdedah kepada Covid-19 sebab berada di ‘confined area’ iaitu sempit dan tertutup.
“Apabila Parlimen bersidang, seorang ahli Parlimen akan bawa tiga pegawai…bayangkan berapa ramai di tempat itu dengan kakitangan awam lagi,” katanya.
Takiyuddin berkata, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga memberi jaminan bahawa sidang Parlimen boleh dijalankan selepas tempoh darurat tamat pada 1 Ogos ini.