Panas!!! Kritikan Tun Daim mencemaskan PN

Panas!!! Kritikan Tun Daim mencemaskan PN

Kemunculan Tun Daim Zainuddin yang tiba-tiba bersuara mengkritik kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin serta-merta menimbulkan pelbagai tafsiran.

Meskipun menyentuh pelbagai perkara, antaranya tentang UMNO dan PH sebagai pembangkang, paling menarik tentunya ialah kritikan beliau yang berterus-terang terhadap kerajaan PN.

Dalam kritikannya, antara lain Tun Daim berkata, kerajaan PN dilihat tidak berfungsi dengan cekap dan “terumbang-ambing” mentadbir negara ketika menghadapi wabak Covid19.

“Masalah ini diburukkan lagi apabila setiap kementerian bergerak secara bersendirian.

“Rakyat masih belum nampak walau satu contoh pun usaha sama membabitkan pelbagai kementerian dalam memerangi wabak ini – selain kehadiran anggota tentera di sekatan jalanraya,” katanya dalam temubual dengan sebuah portal berita.

Tun Daim turut menyoal ketiadaan penyelarasan gerak kerja pentadbiran PN dalam menangani Covid19 dengan memberi contoh isu sambungan internet dan pembelajaran murid dari rumah.

“Mengapa kementerian dan agensi komunikasi dan multimedia tidak duduk bersama Kementerian Pendidikan mencari jalan menyelesaikan masalah sambungan internet untuk pelajar yang dipaksa belajar dalam talian?

“Pelajar merasakan mereka diabaikan oleh kerajaaan dan mereka berhak berasa demikian,” katanya.

Menurut Tun Daim lagi, pengumuman Perdana Menteri dan menteri setiap hari tidak menimbulkan keyakinan rakyat yang merasa mereka telah terabai.

“Orang ramai sudah tidak melekat di depan kaca TV untuk mengikuti sidang media setiap petang.

“Tidak siapa yang ambil tahu mengenai SOP yang kerap berubah, mahupun angka jangkitan atau nama kluster yang tidak membantu (keadaan mereka),” tambahnya.

Katanya lagi, segelintir menteri yang tampil bersuara pula hanya menambahkan kekeliruan dan memburukkan lagi keadaan dengan pengumuman mereka.

“Rakyat berkata mereka keliru, tidak jelas sehingga SOP yang berubah-ubah membawa erti ‘Semua Orang Pening’,” ujarnya dengan sinis.

Tun Daim turut menegur tentang banyaknya keputusan-keputusan kerajaan PN sebagai

“tidak masuk akal kerana ia dibuat bukan berpandukan sains.”

Beliau merujuk perintah pengecualian kuarantin tiga hari untuk menteri yang dikeluarkan Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba berbanding 10 hari untuk rakyat biasa.

“Di mana penjelasan atau sokongan saintifiknya untuk buat keputusan seperti itu?

“Apa yang rakyat nampak ialah ini merupakan penguatkuasaan undang undang dua darjat – lain untuk rakyat dan lain untuk orang berkedudukan tinggi.

“Virus ini tidak kira itu semua – kerana ia tidak mendiskriminasi sama ada seseorang itu menteri atau bukan,” jelasnya.

Tun Daim mengingatkan perlu ada dasar yang betul untuk menangani wabak Covid19 dan ekonomi yang bertambah baik akan menyusul selepas itu.

“Kalau dasar menangani wabak salah, ekonomi akan sengsara dan tidak akan pulih,” tegas bekas Pengerusi Majlis Penasihat kerajaan era PH itu.

Selain itu, kata beliau, walau kerajaan PN mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai berbillion ringgit, namun rakyat masih tidak dapat menikmati manfaatnya dan mereka terus ditimpa kesusahan.

Tegasnya, rakyat sudah membuat kesimpulan bahawa kerajaan sama ada tidak ada perancangan atau komunikasinya sangat buruk sehingga ia tidak peduli dan tidak dengar rintihan rakyat .

“Banyak cadangan sudah dibuat oleh pembangkang, ketua industri, pakar kesihatan, NGO malah rakyat biasa – tetapi mereka merungut kerajaan tidak mahu dengar.

“Sehingga apabila Perdana Menteri membuat pengumuman khas, ia tidak menepati sasaran dan tidak menyentuh isu yang dibangkitkan oleh industri yang menderita semasa wabak ini,” kata Tun Daim agak panjang lebar dalam kritikannya terhadap kerajaan PN.

Beberapa pemimpin dalam Bersatu menyamakan kritikan Tun Daim yang dilihat agar keras dan menyeluruh kali ini dengan kemunculannya yang hanya di saat-saat akhir ketika kempen PRU14 pada 2018 lalu.

Tun Daim ketika itu muncul menjelajah ke seluruh negara kerana setelah beliau dikatakan mendapat maklumat yang cukup kuat bahawa BN mampu ditumbangkan dan PH boleh memenangi PRU14.

Kini kemunculannya hampir sama dengan 2018 dahulu di mana ketika ini kerajaan PN benar-benar lemah dan Muhyiddin sedang diasak dengan pelbagai isu yang mampu mengurangkan keyakinan rakyat terhadapnya.

Apakah ini petanda, selain PN tidak mungkin menang pada PRU15 akan datang, sesuatu perubahan yang lain bakal berlaku dalam waktu terdekat ini?

Seorang pemimpin Bersatu berkata, pihaknya tidak mengambil mudah kritikan Tun Daim ini dan akan berbincang dengan beberapa pimpinan yang lain untuk melihat apa yang boleh dibuat selepas ini.

“Lagi pun kritikan dan teguran Tun Daim ini banyak benarnya,” ujar pemimpin yang enggan dinamakan itu

Sumber:https://shahbudindotcom.net/2021/02/15/kritikan-tun-daim-mencemaskan-pn.html

COMMENTS