Kucing Pecah Rekod Dunia, “Purring” Lebih Kuat Dari TV
Kucing bernama Bella yang berusia 14 tahun dari Huntingdon, Cambridgeshire, UK dilaporkan telah memecahkan rekod dunia dengan bunyi purr paling kuat di dunia.
Memetik Rekod Dunia Guiness, bunyi dari kucing itu berukuran 54.59 desibel dan mencapai rekod paling kuat bagi seekor kucing peliharaan.
Bahasa mudahnya, bunyi itu seperti cerek yang sedang mendidih di atas dapur.
Menurut pemiliknya, Nicole Spink, dia mengatakan bahawa Bella mengeluarkan bunyi itu secara semula jadi.
“Dia purr sepanjang hari! Jika ada makanan di sekeliling atau berpelukan dia akan purr.
“Ketika sedang menonton TV, dia akan berbunyi sama kuat dengan televisyen. Arwah suami saya selalu merintih dengan bunyi purr yang kuat itu sehingga sama kuat dengan bunyi TV pada waktu petang,” jelas Nicole.
Selain itu, Spink juga memberitahu bahawa Bella akan sentiasa ‘purr’ walaupun berada di tempat yang tidak dijangka seperti di klinik haiwan.
“Sesetengah doktor haiwan memberitahu bahawa dia adalah satu-satunya kucing yang berbunyi kuat di sana.” cerita Nicole lagi.
Malah keluarga Spink mendakwa bahawa Bella mungkin salah satu kucing yang mengeluarkan bunyi ‘purr’ terkuat di dunia.
“Kawan dan keluarga perasan Bella ‘purr’ dengan kuat, semua orang bertanya bunyi apa yang kuat itu? Rupanya ia hanya Bella yang gembira!” tambah Nicole.
Pada satu hari, semasa sedang membaca buku Rekod Dunia Guinness, Nicole dan anak perempuannya telah memutuskan untuk menguji teori dan penemuan mereka.
Mereka telah memuat turun aplikasi pada telefon mereka lalu mengukur bunyi ‘purr’ Bella.
Penggunaan aplikasi itu masih terdapat kekurangan dan jurutera bunyi masih diperlukan untuk mengukur bunyi tersebut.
Pada hari percubaan rasmi oleh Rekod Dunia Guinness, Nicole takut bahawa Bella tidak akan berbunyi purr seperti kebiasaannya.
“Dia kucing tua yang degil dan dia hanya lakukan apa sahaja yang dia suka. Ia adalah Ratu Bella,” kongsi Nicole lagi.
Bagaimanapun, sebaik sahaja Bella diberi semangkuk makanan kegemarannya, dia terus bersedia untuk percubaan itu lalu berbunyi dengan kuat.
Menurut Nicole, Bella mengeluarkan bunyi yang kuat di hadapan mangkuk makanannya.
Hidup Bella dikatakan hanya dihabiskan dengan makan, tidur dan dimanjakan oleh pemiliknya.
“Bella akan bangun dari atas katil saya, dia sentiasa akan kejutkan saya dan meminta makanannya. Dia sukakan makanannya, begitulah cara dia bersedia setiap hari,” cerita Nicole lagi mengenai hari-hari Bella.
Bunyi purr Bella itu telah dirakam dan diukur oleh pakar jurutera bunyi bebas dan diluluskan oleh Adjudikator rasmi, Dave Wilson.
Mengikut arahan oleh Rekod Dunia Guinness, meter paras bunyi yang digunakan untuk percubaan itu disimpan pada jarak satu meter dari Bella.
Walaupun Bella memegang rekod bunyi purr paling kuat oleh kucing peliharaan domestik, gelaran rekod bunyi paling kuat dimiliki oleh dua kucing lain.
Pemegang rekod itu dimiliki oleh kucing yang bernama Smokey dan Merlin.
Pada tahun 2011, Smokey dari Northampton, UK telah direkodkan pada tahap bunyi yang menakjubkan iaitu 67.8 desibel.