Orang melayu lebih suka UMNO – Mahdzir Khalid

Orang melayu lebih suka UMNO – Mahdzir Khalid

Pertambahan parti politik tidak menguntungkan orang Melayu, sebaliknya hanya mengundang kepada perpecahan, kata Naib Presiden Umno, Mahdzir Khalid.

Katanya, Umno ketika ini sudah cukup bagi orang Melayu dan tiada keperluan untuk menubuhkan parti politik yang baru.

“Umno satu sudah cukup, ni kalau buat bagi banyak lagi, kita akan berpuak-puak.

“Ikutlah pakat-pakat dalam satu organisasi,” katanya ketika diminta mengulas mengenai usaha Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menghidupkan kembali ‘Umno lama’.

Semalam, Razaleigh dilaporkan mahu menghidupkan semula ‘Umno lama’ yang diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 1988.

“Umno sekarang pecah. Akhir-akhir ini banyak orang merasakan bahawa Umno baru ini sudah hilang taring. Dan mungkin susah menghadapi pilihan raya.

“Keadaan sudah berlainan. Jadi, kita harap dapat kita ajak semua pihak bersama mewujudkan perpaduan di kalangan orang Melayu,” kata Razaleigh.

Dalam pada itu, Mahdzir yang juga menteri pembangunan luar bandar, berkata adalah lebih baik menyertai parti politik sedia ada di negara ini daripada mewujudkan parti baru.

Mengulas mengenai usaha menubuhkan sebuah lagi parti politik baru iaitu Parti Kuasa Rakyat, beliau sekali lagi menegaskan pada masa ini sudah terlalu banyak parti politik dalam kalangan orang Melayu.

“Orang Melayu yang banyak sangat parti ni, rakan-rakan kaum Cina dan India tidak sebanyak orang Melayu. Tak tahu lah apa matlamat mereka,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Veteran Umno, Mustapha Yaakub, berkata dia sukar memahami hasrat Razaleigh untuk menghidupkan kembali Umno lama.

“Saya tidak tahu apa yang ada dalam kepala Ku Li (Tengku Razaleigh) apabila dia berusaha untuk menghidupkan Umno lama yang baginya bukan mati tapi ‘pengsan’.

“Dari segi undang-undang, yang difahami umum, Umno lama sudah tiada setelah ia dibatalkan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan diisytihar haram oleh mahkamah.

“Kenapa setelah 30 tahun maka baru Ku Li cuba menghidupkan semula Umno lama itu?” katanya.

Bagaimanapun, Mustapha berkata dia yakin Razaleigh mempunyai sebab tersendiri untuk menghidupkan kembali Umno lama.

COMMENTS