Obses dengan Ricky Martin, lelaki ini nekad buat 40 pembedahan plastik sekali lain pula jadi
Seorang lelaki yang merupakan peminat bintang Latino Ricky Martin sanggup menjalani berpuluh-puluh prosedur pembedahan kosmetik demi kelihatan seperti idolanya itu.
Ricky Martin seperti diketahui merupakan nama besar dalam industri hiburan dan memiliki berjuta-juta peminat di seluruh dunia.
Tetapi peminat yang taksub ini telah mempunyai cara yang lain menunjukkan minatnya kepada bintang tersebut.
Memetik Oddity Central, lelaki bernama Fran Mariano itu telah mencuba pelbagai cara untuk mengubah dirinya menjadi Ricky Martin. Ia termasuk menyuntik minyak motor ke keningnya, serta berpuluh-puluh prosedur lain.
Perbuatannya itu telah menyebabkan dia mengalami sekuela fizikal dan psikologi yang serius.
“Saya tidak dapat rasa separuh daripada muka serta hidung saya. Begitu juga dengan dagu saya,” kata Fran Mariano dalam temu bual baru-baru ini.
“Apabila saya minum champagne, saya perlu melakukannya dengan menggunakan bantuan serbet kerana ia sering tumpah pada saya,” tambahnya lagi.
Bekas peserta rancangan realiti Argentina “Cuestion de Peso” itu telah mendedikasikan hidupnya untuk mengubah dirinya menjadi klon Ricky Martin.
Prosedur kosmetik gagal dan menyebabkannya cacat
Malangnya, prosedur kosmetik yang dia jalani telah gagal dan menyebabkannya cacat.
Terbaru, dia didakwa telah mengeluarkan minyak motor dari mukanya. Prosedur itu dipercayai berkemungkinan besar akan meninggalkan parut seumur hidup.
Menurut Fran, walaupun dia telah menjalani pelbagai prosedur kosmetik dan meninggalkan kesan yang mendalam pada dirinya. Pendedahan itu hanya untuk memberikan pengajaran kepada orang ramai.
Perkongsian beliau berkaitan prosedur itu kepada dunia adalah untuk memberikan pendedahan kepada orang ramai tentang kesan bahaya yang mungkin dihadapi seseorang.
Terdahulu, polis Thailand dilaporkan berjaya menahan seorang tokan dadah yang nekad melakukan pembedahan plastik untuk menyerupai lelaki Korea bagi mengelak daripada ditangkap.
Memetik The Thaiger, lelaki yang merupakan raja dadah paling dikehendaki di Thailand itu turut menukar namanya kepada nama lelaki Korea.
Polis dilaporkan berjaya menahan lelaki berusia 25 tahun itu di sebuah kondominium di daerah Bang Na, Bangkok.
Lelaki berkenaan ditangkap oleh polis selepas waran tangkap dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Thailand pada 2 Disember lalu.