Seorang bayi yang dijumpai ditinggalkan di belakang halaman sebuah gim di China berjaya diselamatkan, lapor Daily Mail.
Ketika seorang pekerja pembersihan menjumpai bayi tersebut, tali pusat masih lagi terlekat pada perutnya, lapor doktor kepada wartawan.
Badannya penuh dengan lumpur, dan telinganya pula dipenuhi dengan ulat, tambah doktor tersebut.
Ouyang Ting, jururawat yang merawat bayi tersebut, menyatakan bahawa bayi itu berada dalam keadaan ‘kotor dan busuk’ semasa dia dikejarkan ke hospital.
“Ketika kami memandikannya, kami telah menemui ulat pada badannya, ujar jururawat tersebut.
“Saya tidak pernah menyaksikan bayi sekecil ini dipenuhi dengan ulat yang begitu banyak.
“Sedih saya melihat keadaannya. Saya tak faham mengapa ayah dan ibunya tergamak meninggalkannya dalam keadaan seperti ini,” ujar Ouyang sambil mengalirkan air mata.
Bayi perempuan tersebut telah dijumpai pada Sabtu pagi di bandar Nanchang di selatan China.
Dikatakan, pekerja pembersihan itu telah terdengar seakan teriakan ‘kucing’ di halaman tersebut pada waktu malam sebelumnya dan telah menemui bayi itu pada hari berikutnya.
“Ketika pengawal keselamatan membawa bayi tersebut ke hospital, tali pusat masih lagi terlekat pada perutnyaa dan lumpur telah melitupi seluruh badannya,” kata Dr Huibin daripada Jiangxi Provincial Children Hospital.
Pengawal keselamatan terus bergegas membawa bayi tersebut ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas dimaklumkan oleh petugas kebersihan yang menemui bayi malang itu, nyata Dr Li.
Sebuah rakaman yang dikeluarkan oleh Pear memaparkan petugas kesihatan sedang mengeluarkan ulat daripada telinga bayi itu menggunakan putik kapas.
Pihak polis dimaklumkan sedang mencari ibu bapa bayi berkenaan serta mencari rumah anak yatim untuk menjaga bayi tersebut.
Bayi itu kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.