Mungkin berlaku pembentukan kerajaan baru – Khalid Samad

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad mengandaikan kemungkinan berlaku satu pembentukan kerajaan baru selepas perjumpaan ketua-ketua parti politik bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Beliau berkata, apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan meminta ahlinya supaya sedia bekerjasama dengan semua pihak, kemungkinan andaiannya ialah membawa satu kerajaan baru untuk dibentuk.

Katanya, apabila Agong memanggil kesemua pemimpin parti-parti politik untuk datang menghadap, ia adalah satu petanda baik yang menunjukkan betapa serius keadaan ekonomi negara dan pandemik Covid-19 yang semakin memburuk.
“Kalau kita nak buat andaian, baginda berjumpa dengan Datuk Seri Anwar, Umno, DAP, AMANAH (dan parti lain), maka kita boleh lihat seolah-olah di situ ada kerangka pembentukan satu kerajaan baru di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim.
“Betul atau tidak, kita tak tahu lagi, ini mungkin satu ‘option’.
“Kita harap dalam perbincangan-perbincangan ini, akhirnya dengan tujuan untuk nak cari satu penyelesaian. Apa penyelesaiannya yang ingin dicadangkan, itu kita tak tahu,” katanya dalam siaran langsung di Facebook Jom Channel semalam.
Beberapa siri pertemuan peringkat tertinggi difahamkan akan berlangsung sepanjang minggu ini berkemungkinan bagi merangka landskap politik baharu di sebalik Proklamasi Darurat yang dijangka berakhir penghujung Ogos ini.
Setakat semalam, dilaporkan empat pemimpin sudah menghadap Agong sejak awal pagi.
Antaranya Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden PKR, Anwar; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu

Pertemuan ketua-ketua parti politik dengan Seri Paduka berlaku ketika penularan Covid-19 berada pada tahap membimbangkan dengan 82,797 kes aktif termasuk 903 pesakit dirawat di ICU setakat semalam.
Sumber : Malaysia dateline