MIC sokong Ismail, bukan Zahid

MIC sokong Ismail, bukan Zahid

Presiden MIC S Vigneswaran menggesa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi agar memberi sokongan Ismail Sabri Yaakob untuk menjadi perdana menteri baru.

Ia susulan isyarat oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang dia akan meletakkan jawatan hari ini, setelah Zahid dan 14 lagi ahli parlimen Umno menarik balik sokongan terhadapnya.

Pada masa sama, 23 lagi ahli parlimen Umno termasuk Ismail Sabri terus menyokong Muhyiddin. Bagaimanapun dengan sokongan 100 ahli parlimen, Muhyiddin kurang 11 ahli parlimen untuk mendapat majoriti mudah.

Untuk rekod, terdapat 220 ahli parlimen di Dewan Rakyat dengan dua kerusi kosong.

Dalam sokongannya terhadap Ismail Sabri, Vigneswaran menyifatkan naib presiden Umno itu sebagai calon BN.

“Saya fikir Zahid pun patut sokong – dia perlu sokong.

“Kenapa? Sebab dia dari Umno. (Pemimpin dari) Umno akan jadi perdana menteri, mengapa mereka tidak (perlu sokong)?” katanya kepada Malaysiakini.

Zahid dilihat lebih cenderung untuk calon daripada kemnya sendiri.

Sebagai perdana menteri, kuasa dan pengaruh Ismail dalam Umno akan meningkat dan ia akan menjejaskan Zahid dalam pemilihan parti akan datang.

Antara nama yang dibangkitkan daripada kem Zahid adalah Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Bagaimanapun, Vigneswaran menyuarakan keraguan jika ada calon Umno lain yang mampu mendapatkan majoriti.

“Walaupun jika mereka namakan (calon lain daripada Umno), mereka tiada jumlah sokongan. Hanya Ismail Sabri yang ada bilangannya.

Mereka boleh namakan siapa saja tetapi tiada yang akan dapat majoriti.

“Tidak akan ada majoriti kecuali anda dapatkan (sokongan) 200 ahli parlimen lagi dari planet Marikh,” selorohnya.

Ismail mengadakan sejumlah pertemuan semalam dalam usahanya mendapatkan sokongan ahli parlimen Perikatan Nasional yang sebelum ini menyokong Muhyiddin.

Bagaimanapun, 15 kerusi parlimen daripada kem Zahid amat penting untuknya mendapat majoriti.

Kem Ismail menyatakan dengan seorang pemimpin Umno mengetuai kerajaan, tiada sebab untuk kem Zahid terus menentang kerajaan PN seperti sebelum ini.

COMMENTS