META hari ini membuat permohonan maaf atas kesilapan terjemahan automatik menerusi satu entri di Facebook berkaitan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara kelmarin, seperti yang ditularkan semalam.
Dalam satu kenyataan di Facebook, Pengarah Dasar Awam META Asia Tenggara, Rafael Frankel, berkata pihaknya menerima maklum mengenai kesilapan terjemahan daripada Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris.
Beliau akui, terjemahan itu menjejaskan catatan di Facebook RTM berkaitan istiadat pertabalan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan hari keputeraan Isteri Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Che’ Puan Khaleeda Bustamam.
“Kami sudah menyelesaikan kesilapan teknikal ini. Kami amat menghormati Kerabat Diraja Malaysia dan dengan tulus ikhlas memohon maaf kepada RTM, Majlis Diraja Johor dan lain-lain yang terkesan dengan acara ini,” katanya.
RTM semalam menjelaskan pihaknya tidak memuat naik sebarang maklumat rasmi dalam bahasa Inggeris berhubung Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara, pada Sabtu.
Sebaliknya memaklumkan apa yang dipaparkan di laman Facebook Rasmi RTM adalah terjemahan automatik oleh sistem Facebook.
“Jika pengguna mengaktifkan terjemahan automatik, maka terjemahan bahasa Inggeris akan muncul. Terjemahan bahasa Inggeris oleh sistem Facebook tersebut adalah salah.
“RTM tidak memuat naik sebarang kandungan ucapan takziah sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan, RTM sudah membuat laporan polis dan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga sudah menghubungi META berkaitan salah terjemahan oleh sistem META itu.
Sementara itu Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menerusi Facebook turut melahirkan rasa kesal terhadap sesetengah pihak yang menuduh RTM membuat hantaran jelik dalam bahasa Inggeris.
Baca : Rita Rudaini sekolahkan Alif Teega dan Aisyah