Menteri KDN akan jumpa PM bincang isu RM600 bilion

Menteri KDN akan jumpa PM bincang isu RM600 bilion

Menteri KDN akan jumpa PM bincang isu RM600 bilion. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri bagi mendapatkan gambaran jelas berhubung dakwaan penyelewengan dana bernilai hampir RM600 bilion oleh kerajaan terdahulu.

Beliau berkata, pertemuan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadual berlangsung petang esok, antara lain bertujuan menentukan agensi penguatkuasaan yang akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan terbabit.

Selain itu, beliau juga akan mendapatkan pandangan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani bagi memperincikan bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membantu siasatan dakwaan terbabit.

“Saya dan Acryl Sani belum sempat berbincang secara spesifik mengenai dakwaan ini. Sudah tentu saya akan dapatkan pandangan daripada pihak badan siasatan berkaitan, kalau berkaitan PDRM, ia dalam bidang kuasa kita. Kalau berkaitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),tentu mereka akan siasat.

“Saya akan dapatkan pandangan Acryl Sani mengenai tindakan lanjut berhubung perkara ini dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan taklimat bersama agensi seliaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

Menteri KDN akan jumpa PM bincang isu RM600 bilion

Semalam, Anwar dilaporkan berkata, pegawai Kementerian Kewangan mengesahkan terdapat pelanggaran serius prosedur berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran kerajaan diterajui bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau juga dilapor sudah menyerahkan perkara itu untuk disiasat jabatan berkaitan bagaimanapun memaklumkan belum ada perbincangan di peringkat Kabinet sama ada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) akan ditubuhkan bagi menyiasat perkara itu.

Sementara itu, Saifuddin Nasution menegaskan, PDRM diberi kebebasan menjalankan siasatan mengenai dakwaan politik wang seperti dinyatakan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, baru-baru ini.

Beliau berkata, ia selari pendirian Anwar yang mahu jemaah menteri tidak mengeluarkan sebarang arahan supaya pihak penguat kuasa menyiasat mana-mana pihak yang mengkritik kerajaan.

“Polis diberikan kebebasan sepenuhnya untuk menyiasat perkara ini jika terdapat asas berdasarkan merit atau kandungan laporan berhubung dakwaan terbabit.

“Saya percaya kepada tahap profesionalisme pasukan polis dalam menentukan keputusan mengenai dakwaan terbabit, selain mereka diberi ruang dan kebebasan untuk memuktamadkan hala tuju perkara ini,” katanya.

Mengenai aspirasi bagi menerajui KDN, beliau berkata, pemerkasaan aspek keselamatan dan ketenteraman awam serta mewujudkan keharmonian adalah antara agenda utamanya, selari hasrat dititahkan Yang di-Pertuan Agong serta peringatan Majlis Raja-Raja.

Justeru, katanya, semua pihak bertanggungjawab memastikan kepentingan pelbagai kaum, agama atau latar belakang, sentiasa terjamin, selain menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang usaha mencemarkan aspirasi berkenaan.

“Saya memikul tanggungjawab ini seiring slogan ‘Keselamatan Tanggungjawab Semua’ dan setiap lapisan masyarakat, parti politik, pertubuhan bukan kerajaan mahupun sesiapa sahaja harus dapat mendokong aspirasi ini.

“Agong juga menitahkan untuk melihat tugas utama kepimpinan politik negara selepas pilihan raya ialah bergerak ke arah kestabilan politik, selain menumpukan kepada kemakmuran ekonomi, isu rakyat, kos sara hidup dan keperluan mewujudkan keharmonian.

“Justeru, semua pihak perlu elak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjurus atau membuka peluang salah faham mahupun membangkitkan sentimen mengancam keharmonian,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, semakan semula undang-undang membabitkan kerakyatan anak dilahirkan ibu warga tempatan, di luar negara antara agenda utamanya sebagai Menteri Dalam Negeri.

BACA:

Anwar ambil gaji Menteri Kewangan? Ini fakta sebenar

Suara misteri tiba-tiba muncul dalam rakaman video waktu lawat rumah Mahsuri

Dian P.Ramlee pernah dianggap janda kerana tak pernah kongsi wajah suami