NAMA pendakwah bebas, Datuk Kazim Elias sememangnya bukan asing lagi dan kisahnya berdepan dengan penyakit misteri turut diketahui umum.
Keadaan yang dihadapi oleh beliau telah mencetuskan idea buat syarikat produksi Mawi World Entertainment untuk mengangkat kisah berkenaan menjadi sebuah filem berjudul Zim Zim Ala Kazim.
Penerbit dan pengarah, Mawi berkata, idea untuk menghasilkan filem tersebut bermula menerusi perjumpaan dengan Ustaz Kazim.
“Ketika berjumpa kami berborak, beliau telah berkongsi tentang kisah penyakit misteri yang dialaminya itu.
“Sebenarnya apa yang dilalui oleh Ustaz Kazim itu, saya juga pernah melalui keadaan yang lebih kurang dengan beliau,” jelasnya.
Tambah Mawi, dia telah meminta kebenaran pendakwah bebas itu untuk menghasilkan sebuah filem yang mengangkat pengalaman Ustaz Kazim berhadapan penyakit misteri.
Ujarnya, dia berasa lega apabila Ustaz Kazim memberikan persetujuan untuk penghasilan Zim Zim Ala Kazim.
“Kalau diikutkan tidak sukar untuk saya meyakinkan beliau. Dalam perjumpaan kali kedua, beliau ceritakan lebih mendalam dan pada perjumpaan kali ketiga saya turut membawa penulis skrip.
“Berkenaan dengan jalan cerita pula, kira-kira 70-80 peratus adalah kisah benar yang dipaparkan. Selebihnya saya ada tokok tambah untuk pastikan penceritaannya lebih menarik,” jelasnya.
Filem kedua arahan Mawi itu berkisarkan sekumpulan pencari hantu yang sering melakukan aktiviti paranormal dan dibintangi barisan pelakon hebat seperti Bell Ngasri, Anas Tahir dan Shanthesh Kumar selaku teraju utama.
Baca : Mesranya Hishammuddin dan Tengku Marsila, ini latarbelakang mereka yang ramai tak tahu