Mahkamah arah polis agar hormati hak pelacur

Mahkamah arah polis agar hormati hak pelacur. Panel tiga hakim Mahkamah Agung menetapkan bahawa pekerja seks di India berhak mendapat perlindungan undang-undang yang sama seperti sektor lain, lapor laman berita RT, kelmarin.

Panel diketuai oleh Hakim L. Nageswara Rao itu turut mengumumkan bahawa undang-undang jenayah perlu digunapakai sama rata dalam semua kes berdasarkan umur dan persetujuan termasuk kepada pekerja seks.

Selagi pekerja seks adalah individu dewasa, polis tidak boleh campur tangan atau mengambil tindakan jenayah terhadap mereka.

Kerja seks secara sukarela tidak menyalahi undang-undang, namun menguruskan rumah pelacuran kekal sebagai jenayah. Menurut mahkamah sama, pekerja yang melayan pelanggan secara bersendirian tidak boleh ditangkap atau dijadikan mangsa semasa serbuan ke atas kemudahan tersebut.

“Tidak kira jenis pekerjaan apa sekalipun, setiap individu di negara ini mempunyai hak untuk hidup bermaruah di bawah Perkara 21 Perlembagaan,” kata panel hakim tersebut dalam keputusannya.

Mahkamah arah polis agar hormati hak pelacur

Ibu yang bekerja dalam perdagangan seks tidak seharusnya dilucutkan hak penjagaan anak-anak mereka, begitu juga anak-anak yang didapati tinggal di rumah pelacuran atau dengan pekerja seks tidak boleh diandaikan sebagai diperdagangkan.

Selain itu, polis tidak boleh mendiskriminasi pekerja seks yang menjadi mangsa serangan seksual.

Panel hakim tersebut turut mengulas sikap polis yang kejam dan ganas terhadap pekerja seks seolah-olah mereka adalah warga kelas kedua yang haknya tidak diiktiraf.

Hakim L.Nageswara pula menegaskan bahawa pihak berkuasa perlu mengelak daripada memaksa pekerja seks untuk dihantar ke tempat perlindungan atau kemudahan pembetulan tanpa kehendak mereka.

Mahkamah juga memberi amaran kepada media supaya berhati-hati dan tidak mendedahkan identiti pekerja seks semasa membuat liputan mengenai, penangkapan, serbuan dan operasi menyelamat.

Walaupun pelacuran mungkin tidak lagi boleh didakwa sebagai jenayah namun voyeurisme atau amalan mendapatkan keseronokan seksual daripada melihat individu lain melakukan aktiviti seksual kekal sebagai satu kesalahan.

Mahkamah telah meminta jawapan kepada pengesyoran perbicaraan mengenai isu berkenaan pada 27 Julai akan datang.

Undang-undang pelacuran India melarang permintaan dan pelacuran awam serta pemilikan rumah pelacuran tanpa secara jelas mengharamkan amalan kerja seks itu sendiri. – Agensi

BACA:

Bella kena air panas termos, mahkamah diberitahu

Harga kayangan, namun lembu untuk korban tetap laris

Rosyam Nor dikecam ramai sebagai biadab kerana paksa Shuib kahwin lagi