Mahkamah arah guru agama dipenjara kerana rotan pelajarnya 5 tahun dahulu

Mahkamah arah guru agama dipenjara kerana rotan pelajarnya 5 tahun dahulu

Tergamam. Itu reaksi seorang guru agama selepas Mahkamah Rayuan di sini hari ini, mengembalikan semula hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret atas kesalahan merotan anak muridnya, lima tahun lalu.

Muhammad Adib Abd. Halim yang sebelum ini hanya perlu menjalani hukuman penjara sehari dan membayar denda RM4,000 selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam mengetepikan hukuman Mahkamah Majistret Kajang juga diperintahkan untuk menjalani hukuman tersebut serta-merta.

Mahkamah arah guru agama dipenjara kerana rotan pelajarnya 5 tahun dahulu

Terdahulu, panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama Datuk P. Ravinthran dan Datuk Hashim Hamzah sebulat suara memutuskan bahawa pindaan hukuman yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi adalah salah di sisi undang-undang.

“Mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, denda maksimum yang boleh dikenakan adalah tidak melebihi RM2,000. Oleh itu, hukuman yang dikenakaan oleh Mahkamah Tinggi terhadap responden (Muhammad Adib) adalah menyalahi undang-undang.

“Sehubungan itu, keseluruhan hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi adalah tidak sah kerana tidak selaras dengan Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi dengan ini diketepikan dan Mahkamah ini mengembalikan semula hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret sebelum ini,” kata Hakim Hanipah.

Pada 16 November 2018, Majistret Nor Afidah Idris menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,000 terhadap Muhammad Adib selepas didapati bersalah mencederakan bekas anak muridnya yang pada ketika itu berusia 11 tahun.

Pada 26 Jun 2019, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengetepikan hukuman tersebut dan menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM4,000. Muhammad Adib telah menjalani hukuman penjara itu dan membayar denda terbabit.

Pada 28 Ogos 2017, Muhammad Adib didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang pelajar dengan cara memukul dengan rotan di kaki kiri dan kanan mangsa di sebuah sekolah di daerah Hulu Langat di sini, pada 16 Ogos tahun sama dan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Kes itu menarik perhatian kerana dikatakan Muhammad Adib telah merotan mangsa selepas enggan menunaikan solat. Bagaimanapun, keterangan saksi-saksi termasuk mangsa dan bekas guru agama itu menunjukkan pelajar terbabit dirotan kerana tidak berjumpa dengan gurunya itu selepas dipanggil untuk berbuat demikian.

Sewaktu membacakan penghakiman ringkasnya, Hakim Hanipah menyatakan, ketika Hakim Mahkamah Tinggi mengganggu hukuman yang dijatuhkan oleh majistret, Hakim terbabit langsung tidak menyentuh apakah kesilapan yang dilakukan oleh mahkamah terdahulu (Mahkamah Majistret) dan prinsip hukuman yang digunakan.

Keadaan tersebut mewajarkan Mahkamah Rayuan untuk campur tangan dalam keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi.

Selain itu, berdasarkan rekod rayuan, Mahkamah Rayuan mendapati adalah jelas bahawa Mahkamah Majistret mengenakan hukuman mengikut peruntukan undang-undang.

“Faktor-faktor yang telah diambil kira oleh majistret dalam menentukan hukuman ke atas responden adalah antara lain tahap kecederaan yang dialami oleh mangsa sehingga menyebabkan mangsa dimasukkan ke dalam hospital selama dua hari.

“Selain itu, Mahkamah Majistret juga telah mengambil kira faktor mitigasi yang dikemukakan oleh responden dalam menjatuhkan hukuman,” kata Hakim Hanipah.

Selepas mengembalikan hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret sebelum ini, Hakim Hanipah memerintahkan agar wang denda terlebih bayar sebelum ini iaitu sebanyak RM2,000 dikembalikan semula kepada Muhammad Adib.

Berita Lain:

Tular video penduduk berebut kutip duit dari langit, ini rupanya berlaku

Gadis terkejut kena tampar dengan rakan serumah sendiri pukul 5 pagi

Pernah viral satu Malaysia dahulu, ini kisah terkini Siti Musliha

COMMENTS

Wordpress (0)