Minat membuatkan Mat Samion Mat Desa sanggup membelanjakan lebih RM80,000 bagi membeli bas persiaran terpakai sekali gus memberi wajah baru kepada kenderaan itu.
Niat Mat Samion, 49, yang menetap di Bandar Saujana Putra, di sini, melakukan transformasi kerana mahu merealisasikan keinginannya kembali menjadi pemandu bas iaitu kerjaya ditinggalkannya selepas negara dilanda pandemik Covid-19, empat tahun lalu.
Bapa empat anak itu mengakui pelaburannya bukan sedikit kerana RM55,000 dibelanjakan untuk membeli bas, dan selebihnya bagi menampung kos mengecat, pendawaian dan mencantikkan ruang dalam kenderaan berkenaan.
Hasil transformasi itu sangat menarik malah mendapat perhatian warganet yang rata-ratanya memuji usaha Mat Samion dalam memberi wajah baru kepada bas berkenaan.
Bercerita lanjut, Mat Samion berkata, sebelum PKP, dia mencari rezeki sebagai pemandu bas serta van sekolah.
“Dulu, saya ada dua bas dan dua van sekolah tapi kesemuanya dijual selepas pelaksanaan PKP kerana tak dapat cari rezeki lagi sebagai pemandu ketika itu.
“Demi kelangsungan hidup, saya teruskan menjual nasi lemak kerana sudah lama berniaga, tapi akhir 2021 saya terkena cakera tulang belakang teranjak atau tergelincir (slipped disc).
“Sejak itu, saya berehat kerana nak sihat saja, tapi masih berniaga dan akhir tahun lalu, kesihatan bertambah baik, jadi saya mula cari bas sehingga jumpa satu unit bas persiaran kepunyaan rakan,” katanya.
Menurutnya, keadaan bas itu secara luaran seperti besi buruk tetapi sebenarnya masih elok, cuma sudah lama tidak digunakan akibat diletakkan di sebuah depoh dekat Mambau, Negeri Sembilan.
Katanya, dia dan isteri, Norliza Jusoh, 46, mencantikkan bahagian luar dan dalam bas berkenaan yang berjaya disiapkan pada awal bulan ini dalam tempoh enam bulan.
“Untuk cat dan servis enjin, saya upah orang manakala lampu pasang sendiri. Sebulan juga bas itu berada di bengkel iaitu pada Ramadan lalu dan siap dicat selepas Aidilfitri.
“Bila tengok hasilnya, hati saya lapang dan ambil masa lama kerana perlu uruskan dokumen termasuk dengan Puspakom Sdn Bhd (Puspakom).
“Ikutkan, sebelum ini ada yang nak tempah bas saya, tapi belum bersedia. Tapi bermula 11 Julai lalu, saya sudah mulakan ‘trip’ membawa pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Alor Gajah, Melaka pulang ke Shah Alam, Selangor,” katanya.
Menurut Mat Samion, dia gembira kerana dapat menjadi pemandu bas semula selepas empat tahun ‘bercuti’.
“Memang simpan niat nak bawa bas semula kerana minat… nak buat kerja lain, tak ada jiwa dan sebab itu usaha (restorasi bas) juga walaupun modalnya besar.
“Saya pun saja kongsi di TikTok gambar transformasi bas untuk kenangan, tapi terkejut apabila bangun tidur pada satu hari dan diberitahu perkongsian itu sudah tular.
“Alhamdulillah, banyak komen positif malah selepas tular, saya dapat lima ke enam tempahan membawa rombongan pelajar.
“Selagi diberi kesihatan, saya akan terus bawa bas dan kini sedang tunggu keputusan anak sulung (Muhammad Akmal, 23) yang bercadang mahu sertai bidang perusahaan bas bagi mengikut jejak langkah saya,” katanya.
Baca : Suami nekad gam 12 muka surat passport sebab takut kantoi curang dengan isteri