Lelaki kena bungkus pada batang pokok

Seorang lelaki di Vietnam yang gagal membayar upah mencacah tatu menerima padah apabila pemilik premis itu mengikatnya pada sebatang pokok dalam keadaan separuh bogel sebelum membalut badan dengan plastik.

Insiden itu terbongkar selepas satu foto tular di media sosial menunjukkan lelaki itu dalam keadaan dibalut pada batang pokok ketika suhu -10 darjah Celsius, lapor portal berita Oddity Central baru-baru ini.

Berdasarkan gambar, lelaki itu kelihatan dipakaikan topi keledar dan sekeping kertas ditampal pada dadanya yang teks ‘saya tidak suka bayar upah tatu’.

Gambar seorang lelaki di Vietnam diikat pada pokok dalam keadaan separuh bogel tular di media sosial, baru-baru ini. – Phap Luat/Quoc Song

Orang ramai pada awalnya menganggap ia satu gurauan atau aksi yang sengaja diada-adakan oleh pemilik kedai tatu sebagai publisiti percuma.

Bagaimanapun, pemilik kedai yang cuma dikenali sebagai NQT tampil mendedahkan kisah sebenar kejadian.

Menerusi satu kemas kini di media sosial, NQT mendakwa pemuda itu berkunjung ke kedainya untuk mencacah tatu namun gagal menyelesaikan semua bayaran dan melarikan diri.

“Saya sudah mencacah beberapa tatu pada badannya tetapi dia tidak membayar upah yang mencukupi. Bayaran tertangguh masih berbaki beberapa juta dong.

“Dia gagal ke kedai untuk melunaskan baki hutang malah mengelak bertembung dengan saya,” dakwanya.

NQT memberitahu kemudian melepaskan lelaki itu atas dasar kasihan.

“Dia masih tidak ada wang untuk membayar baki upah tetapi saya sudah memaafkannya,” ujarnya.

Sumber:https://www.kosmo.com.my/2021/01/13/lelaki-kena-bungkus-pada-batang-pokok/

COMMENTS

Wordpress (0)