Curi Hiasan Emas Pada Kubah Masjid Bernilai Hampir RM1 Juta, Lelaki Ditahan
Seorang lelaki berjaya ditahan pihak polis selepas didakwa mencuri hiasan emas yang bernilai hampir RM1 juta pada kubah Masjid Al Huda, Buru di Indonesia pada Isnin lepas.
Suspek yang bekerja sebagai seorang nelayan di Kampung Kayeli ditahan ketika ingin melarikan diri ke Maluku Utara pada 7 Mac lalu, lapor Kompas.com.
Hiasan kubah yang berbentuk kalimah Allah seberat 2.6 kilogram itu diperbuat daripada emas dan bernilai kira-kira 3 bilion rupiah (RM906,166).
Kehilangan hiasan tersebut pada 4 Mac telah menggemparkan masyarakat setempat di kawasan berkenaan.
Ekoran kehilangannya, penduduk tempatan telah mengesyaki bahawa hiasan yang telah dipasang sejak 2015 telah dicuri dengan menggunakan tangga.
Hal ini kerana, beberapa penduduk telah menemui sebuah tangga yang ditinggalkan pencuri, tidak jauh daripada masjid tersebut.
“Semalam, memang ada beberapa penduduk kampung menemui tangga dan perkara ini telah dilaporkan kepada pihak polis,” kata Ketua Kampung Kayeli, Fandi Ashari Wael ketika dihubungi Kompas.com.
Selepas laporan berkenaan insiden dibuat di balai polis, pihak polis telah melancarkan siasatan bagi mendapatkan bahan bukti.
Suspek berhati-hati ketika mencuri hiasan emas daripada kubah masjid
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Buru, Inspektor Aditya Bambang Sundawa berkata, suspek dipercayai mencuri hiasan masjid dengan menggunakan tangga dan tali.
“Suspek menggunakan dua buah tangga kayu. Yang pertama tangga berukuran 5.18 meter dan satu lagi tangga berketinggian 3 meter, serta tali nilon sepanjang lima meter,” kata Aditya ketika dalam sesi sidang media, semalam.
Pada awalnya, nelayan berkenaan telah mengambil tali dan dua tangga yang telah diletakkan bersebelahan dengan rumahnya.
Tali dan tangga tersebut kemudiannya telah dibawa ke masjid menerusi aliran sungai yang berada berdekatan dengan masjid tersebut.
Setelah tiba di lokasi kejadian, suspek telah memikul peralatan yang telah disediakannya menuju ke arah masjid berkenaan. Lalu, dia memasuki masjid itu melalui pintu belakang dan sempat kembali semula untuk mengambil tangga sepanjang tiga meter.
Seterusnya, nelayan berkenaan telah menaiki ke kawasan kubah sambil membawa tangga tiga meter tadi berserta tali dan sebatang kayu.
Tali yang dibawa itu kemudiannya diikat melingkari diameter kubah Masjid Al Huda, Buru.
“Tujuan suspek mengikat tali melingkari kubah itu agar tangga yang dibawa naik tidak jatuh disebabkan permukaan kubah itu sedikit licin,” jelasnya.
Setelah berjaya naik ke atas kubah masjid, suspek menarik hiasan tersebut dengan bantuan kayu yang telah dipasang besi pada hujungnya.
“Hiasan tersebut telah ditarik tiga kali dan ia jatuh ke atas atap masjid. Kemudian suspek membuka tali dan melemparnya bersama tangga ke bawah,” tambah Aditya.
Suspek turut dilaporkan telah mematahkan hiasan emas yang bernilai hampir RM1 juta itu kepada lima bahagian dan beredar daripada kawasan masjid dengan menggunakan kaedah yang sama seperti sebelum ini.
Aditya menjelaskan bahawa kegiatan jenayah tersebut mengambil masa kira-kira tiga jam bermula pada waktu 2.00 pagi (Waktu Indonesia Timur).
Ketika ditahan polis, suspek telah mengaku bahawa dirinya telah mencuri hiasan tersebut atas tujuan membayar hutang. Susulan tindakannya, nelayan berkenaan bakal berdepan dengan hukuman penjara sebanyak tujuh tahun.
BACA: “Suami bagi hadiah kunci kereta, aku masuk dalam kereta baru tu terjumpa surat cerai talak 1..”