“Kita akan pantau harga barang,” kata Timbalan Menteri

“Kita akan pantau harga barang,” kata Timbalan Menteri

Menjelangnya musim perayaan, bukan sahaja isu harga barangan naik mendadak sebaliknya pelbagai aduan berkaitan adanya penjualan barangan tiruan terutama melibatkan jenama terkenal.

Justeru itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa fokus memantau barangan tiruan termasuk melakukan serbuan ke premis terlibat.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, kali ini pihaknya bukan sahaja memantau premis biasa tetapi juga butik-butik mewah di pasar raya besar.

“Tidak kisah di Jalan TAR (Jalan Tuanku Abdul Rahman) mahu pun Petaling Street atau Chow Kita, kita tegas dan akan ambil tindakan yang sepatutnya.

“Kita buat operasi ambush dan juga bertindak atas aduan. Dua-dua kita buat tanpa kompromi.

“Kita buat semua bukan sahaja peniaga tetapi pengilang atau pengeluar barangan tiruan itu sendiri. Kita faham dan sedia maklum ada pengguna yang datang ke tempat-tempat seperti ini kerana tahu harga barangan tiruan dijual dengan murah.

“Contoh pengguna hendak beli jam mewah jenama Rolex dengan harga RM200, pengguna tahu barangan tiruan. Tapi kita juga amat serius dengan barangan tiruan yang di jual di butik-butik besar dengan harga mahal, itu memang tipu pengguna.

“Itu lagi teruk sebenarnya, sukar untuk dimaafkan lagi apabila mereka jual dengan harga puluhan ratusan ribu,” katanya selepas melancarkan Program Advokasi Pengguna Bijak dan Pelancaran #ShoppingStreetJalanTar di Jalan TAR hari ini.

COMMENTS