Kita bantu #BenderaPutih – Ketua Polis Selangor

Kita bantu #BenderaPutih – Ketua Polis Selangor

Kempen #BenderaPutih menerima sokongan Polis Selangor yang komited mengenal pasti penduduk mengalami kekurangan makanan atau menghadapi masalah lain akibat pandemik COVID-19.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata beliau telah mengarahkan anggotanya untuk mengenal pasti penduduk yang terjejas, malah usaha sedemikian akan dipertingkatkan.

Katanya, ini bagi membolehkan bantuan boleh segera disampaikan kepada mereka.

Bahkan, beliau berkata pihaknya juga menggalakkan mana-mana pihak yang berdepan masalah sedemikian untuk menghubungi balai-balai polis berhampiran.

“Bila dah kenal pasti, kita akan bantu mereka, hubungkan dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), baitulmal dan sebagainya.

“Selain daripada itu, saya akan terus, selepas daripada ini, meminta masyarakat yang menghadapi masalah, yang menghadapi kemurungan (mendapatkan bantuan).

“Jika jiran ada kemurungan sebab masalah ekonomi, dia boleh menghubungi balai pada bila-bila masa untuk dapatkan bantuan… kalau ada jiran dan sebagainya hadapi masalah, minta hubungi kita dan kita bantu salurkan bantuan,” katanya pada sidang media secara dalam talian pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai kempen #BenderaPutih yang digerakkan oleh rakyat untuk membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Selain itu, Arjunaidi berkata, pihaknya sedia memberikan bantuan kewangan, kaunseling dan bantuan lain mengikut kemampuan mereka.

COMMENTS