Sepanjang hayatnya P. Ramlee tidak pernah mengawini ‘anak dara’, sebaliknya tiga isterinya adalah janda.
Perkahwinan dengan isteri pertamanya JUNAIDAH kekal 4 tahun. Mereka bernikah pada tahun 1949 dan bercerai pada 1953.
Pada tahun 1954, P. Ramlee menikah pula dengan NORIZAN – janda Almarhum Sultan Perak. Suatu pernikahan yang paling menggemparkan. Perkahwinan keduanya bertahan 7 tahun hingga tahun 1961.
Selepas itu dalam tahun sama P. Ramlee menikah dengan Saloma. Ketika itu nama Saloma sedang mengharum!
Saloma mengakui dia sangat meminati P. Ramlee sejak di bangku sekolah lagi.
“Perkahwinan kami dilafazkan dengan janji dan sumpah, bahawa kami takkan bercerai berai kecuali ‘mati!’, kata Saloma.
Sesudah matinya pun Saloma tetap mengkagumi suaminya. Padanya P. Ramlee adalah satu-satunya insan luar biasa.
“Sampai mati pun saya takkan bertemu suami seperti dia!” ujarnya.
Bekas isteri kedua P. Ramlee, Norizan, adalah satu-satunya wanita yang menggemparkan masyarakat.
Dari Permaisuri Sultan, Norizan telah jatuh cinta pandang pertama dengan P. Ramlee.
“Segala peristiwa suka duka yang saya alami selama hidup di samping P. Ramlee tetap menjadi kenangan, sampai saat ini saya teringat-ingat seolah semuanya itu baru saja berlaku, entahlah!” kata Norizan menghela nafas panjang.
Norizan masih teringat lagi perkahwinannya dengan P. Ramlee sangat berbahagia sekali.
“Hidup kami rukun dan damai, memang betul seperti yang selalu diceritakan oleh Saloma, Ramlee sifatnya terlalu penyayang! dia suka memanjakan isteri dan dirinya pun meminta isteri memanjakannya.”
Norizan termenung jauh untuk mengingatkan kembali bagaimana rumahtangganya boleh retak, sehingga masing-masing berpisah.
“Agaknya kerana ditinggalkan kesepian di rumah menyebabkan saya merasa begitu cemburu. Cemburu melihat dia selalu berdampingan dengan heroin yang selalu berlakon dengannya dalam filem.
“Baru sekarang saya sedar! rupanya berkahwin dengan orang filem, mesti bersifat sabar, walaupun kadangkala terpaksa, ‘makan hati berulam jantung!’
Norizan masih ingat lagi, rumahtangganya mulai bergoncang ketika P. Ramlee sedang dalam pembikinan filem “Ibu Mertua Ku”, rumahtangga mereka sekejap aman sekejap berantakan.
Dalam suasana beginilah P. Ramlee telah mencipta tiga lagu – “Jeritan Batinku”, “Jangan Tinggal Daku” dan “Di Manakan Ku Cari Ganti”.
“Suasana rumahtangga yang berantakan ini banyak mencetuskan ilham P. Ramlee mencipta lagu. Ketiga-tiga lagu ini menggambarkan suasana rumahtangga kami seolah-olah kami berdua sudah membayangkan ‘perpisahan’, walaupun kami takut berpisah, tapi akhirnya terpaksa juga berpisah!” kata Norizan mengeluh kesal.
Sambil menyusun lagunya, P. Ramlee menyatakan pada Norizan, “Kalau aku tak ada nanti, lagu-lagu inilah sebagai pengganti dan menjadi kenangan dalam hidupmu!”
Norizan juga tidak dapat melupakan, sesudah lama mereka bercerai dan masing-masing berpindah ke Kuala Lumpur, mereka kadangkala secara kebetulan bertemu muka di studio Merdeka Film Hulu Klang.
Walaupun berpisah, namun hubungan P. Ramlee dengan Norizan tetap baik, masing-masing saling menghormati.
Ketika pengarah S. Kadarisman mengambil Norizan berlakon dalam filem “Tunggal”, P. Ramlee yang mengajarnya berlakon.
“Kalau dah pandai berlakon, nanti senang nak cari duit,” kata P. Ramlee kepada bekas isterinya itu.
“Pelik! semasa menjadi isterinya dulu dia tak izinkan saya berlakon, cemburu! Sekarang pulak dia yang mengajar saya berlakon,” kata Norizan.
“Bila dia mengarahkan “Lakmana Do Re Mi” filem terakhirnya di Merdeka Studio, P. Ramlee menawarkan saya berlakon, menjadi Permaisuri.
“Dulu I ambil You, Permaisuri! sekarang I nak kembalikan You sebagai Permaisuri dalam “Lakmana Do Re Mi”, kata P. Ramlee sambil ketawa”.
“Lucunya P. Ramlee ni, dia suka bergurau,” kata Norizan mengenang cerita yang masih segar dalam ingatannya.
Kata Norizan, sepanjang hayatnya, P. Ramlee adalah lelaki pertama yang dicintainya.
Bagi JUNAIDAH, dia tak dapat melupakan betapa indah percintaannya dengan P.Ramlee,
“Waktu itu kami sama-sama muda, saling kasih mengasihi dan sayang menyayangi, rasanya tak mahu bercerai sampai ke mati.
“Memang P. Ramlee suka memanjakan isteri dan menunjukkan kasih sayang yang berlebihan.
“Kalau dia pulang jauh malam, dia akan membawa makanan yang saya gemari, mee Hong Kong,” kata Junaidah menceritakan makanan yang menjadi kegemarannya semasa tinggal di Singapura dulu.
“Tapi bila dapat ilham mencipta lagu, saya sedang tidur nyenyak dikejutkannya, di suruhnya saya menunggu sambil dia membuat lagu,” kata Junadah.
Junaidah masih teringat lagi pertemuan terakhirnya dengan bekas suaminya itu kira-kira, dua bulan sebelum P. Ramlee meninggal dunia.
“Dia meminta izin suami saya, Harris, untuk membawa saya keluar berjalan-jalan. Kami berjalan seperti orang muda-muda, naik jambatan turun jambatan sambil membeli-belah. P. Ramlee minta dibelikan ‘siput gundil’ untuk isterinya, Saloma.
“Semacam menyesal, Junaidah menceritakan dalam pertemuannya itu P. Ramee mengajaknya datang ke Kuala Lumpur untuk berlakon filem bersamanya.
“Kerana kalau abang mati nanti, dapat juga anak kita melihat ibu dan ayahnya di dalam filem. “Kita mesti berlakon berdua!” kata Allahyarham kepada bekas isterinya itu.
Tapi kata Junaidah, dia tidak memperdulikan kata-kata P. Ramlee.
“Saya anggap dia bergurau kerana dia suka bergurau orangnya, lalu saya jawab: “Abang dah gila ke?, dah buang tabiat! jangan-jangan abang nak mati tak?”
“Sekarang terasa menyesal mengapa saya berkata begitu, terasa kata-kata saya itu kasar, tentu tersinggung hatinya”, ujar Junaidah.
Di subuh hari P.Ramlee diserang sakit jantung yang membawa maut, JUNAIDAH begitu gelisah, hatinya risau tidak menentu.
Semalam-malaman dia tidak dapat memejamkan matanya.
Selepas sembahayang subuh Junaidah mendengar warta berita di Radio Republik Indonesia (RI), P. Ramlee meninggal dunia.
Junaidah hampir tumbang! lemah longlai seluruh anggutanya, dadanya sebak semacam susah hendak bernafas. “Patutlah malam tadi aku tak boleh tidur!” katanya di dalam hati.
Sekarang barulah Junaidah tahu. setelah P. Ramlee sudah tiada lagi di dunia ini, hatinya yang kadangkala ‘geram’ mengingatkan perbuatan bekas suaminya itu, tiba-tiba bertukar menjadi sayang!.
“Setiap kali selepas solat saya selalu mendoakannya semoga Tuhan mencucuri rahmat ke atas rohnya,” kata Junaidah yang menetap di Jakarta.
Walaupun mereka berpisah namun hubungan Junaidah dengan P. Ramlee tetap baik, tambahan pula anak mereka, Nasir, menjadi ikatan yang takkan boleh dilepaskan lagi.
Junaida sendiri tidak menyangka P. Ramlee meninggal dunia begitu cepat!.
Norizan menangis mendengar kematiannya.
Dan, Saloma tergamam hinggakan tak tertangis.
Pada mereka P. Ramlee tetap hidup dalam kerana masih terngiang-ngiang kata P. Ramlee, “dia ingin hidup seribu tahun!”
– Pada 29 MEI 1973 seniman agung P. RAMLEE telah meninggal dunia. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir di dalam ambulans yang membawanya ke hospital setelah tidak sedarkan diri di rumahnya di Jalan Dedap, Setapak, Kuala Lumpur pada pukul 4.30 pagi.