Kes SPRM : Kenapa Nik Amar berkeras tidak benarkan SPRM siasat AKSB sebelum ini?

Baru-baru ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melakukan serbuan dan menahan tiga lelaki termasuk seorang bekas pengurus besar Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah yang melibatkan projek bernilai lebih RM27 juta antara 2015 dan 2019.
Dua lagi yang ditahan bersama bekas pengurus berumur 60 tahun itu adalah seorang pegawai AKSB yang berusia 39 tahun dan seorang pengurus projek sebuah syarikat berusia 43 tahun.
Namun netizen di media sosial khususnya rakyat negeri Kelantan menimbulkan satu keraguan di atas kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada tahun 2018 yang mengatakan SPRM tidak perlu menyiasat ketirisan dalam AKSB.
Menurut Nik Amar pada ketika itu, sepatutnya disiasat oleh Jabatan Audit Negara (JAN).
“Kita sendiri ada melakukan audit dan Jabatan Audit Negara juga akan membuat perkara sama bagi mengenal pasti sebarang kelemahan atau sebaliknya, sebelum hasil laporan dikeluarkan.
“Justeru, kita akan mengambil tindakan susulan hasil laporan yang dikeluarkan Jabatan Audit Negara, tidak perlulah SPRM nak siasat.
“Saya merasakan apa yang berlaku membabitkan masalah pengurusan bukannya aktiviti salah laku rasuah seperti yang didakwa,” katanya.
Pada tahun 2018, Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kelantan, Asran Alias, sebelum ini meminta SPRM membuat siasatan secara telus terhadap AKSB kerana didakwa berlaku ketirisan.
Asran juga mendakwa walaupun sudah ratusan juta dana diberikan oleh Barisan Nasional (BN) sebelum ini, namun masalah air tetap berlaku dan menjadi masalah besar kepada penduduk Kelantan.