Kereta hancur, tuan selamat.. “Allah lindung saya”

Kereta hancur, tuan selamat.. “Allah lindung saya”

Kereta hancur, tuan selamat.. “Allah lindung saya”. Berpantang maut sebelum ajal. Itu terjadi kepada seorang wanita selepas keretanya remuk teruk dalam kemalangan dengan sebuah lori di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) berhampiran Kandang, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa yang juga peniaga kek lapis tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun Proton Wira dipandunya remuk teruk dengan bahagian bumbung hampir terputus selepas merempuh belakang lori 25 tan yang membuat pusingan U.

Mangsa, Maizatul Mad Said, 49, ketika dihubungi hanya mampu mengucap syukur kerana terselamat dalam nahas itu.

Kereta hancur, tuan selamat.. "Allah lindung saya"

“Alhamdulillah memang tidak ada apa-apa, Allah lindung saya. Satu kaca pun memang tidak kena walaupun orang tengok bumbung dan sampai macam itu, tersepit pun tidak. Syukur Alhamdulillah, masih diberi nyawa.

“Saya sendiri pun terkejut melihat keadaan kereta sebegitu rupa, malah pemeriksaan lanjut di Hospital Melaka juga doktor mengesahkan saya tidak mengalami sebarang kecederaan dalaman,” katanya.

Menceritakan semula kejadian, ibu kepada seorang anak itu berkata, dia sedang menuju ke tempat berniaga di Pantai Klebang selepas menghantar anak perempuan tunggalnya yang habis bercuti semester ke Universiti Teknologi Mara (UiTM), Jasin.

Katanya, ketika menghampiri tempat kejadian dia melihat lori berkenaan membuat pusingan U dan sempat menekan brek, namun gagal memberhentikan kereta lalu melanggar belakang lori berkenaan.

“Saya dah tekan brek tapi disebabkan mungkin kerana lori itu agak panjang, maka tak lepas. Dalam keadaan cemas itu, saya hanya mampu menjerit Allahuakhbar sehinggalah kereta merempuh belakang lori dan apabila terhenti tangan saya masih memegang stereng.

“Saya kemudian membuka pintu kereta dan segera beredar dan waktu itulah baru saya sedar, kereta sudah ‘total lost’ sebelum orang ramai datang melihat kejadian,” katanya.

Menurutnya, walaupun mengalami kerugian besar kerana keretanya musnah sepenuhnya selain barang jualan rosak, dia bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian yang disifatkannya ajaib itu.

Ditanya, sama ada mengamalkan doa tertentu hingga memungkinkan terselamat dalam nahas itu, Maizatul berkata, dia hanya membaca Bismillah dan doa naik kenderaan setiap kali memasuki kereta selain membaca surah al-Fatihah sebanyak 40 kali jika hendak berjalan jauh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan itu pada jam 5.30 petang.

“Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah lori datang dari arah Muar menghala ke bandar Melaka membuat pusingan U di kawasan yang dibenarkan.

“Pada masa sama, bahagian belakang lori dilanggar kereta dipandu wanita terbabit yang ketika itu dalam perjalanan dari arah Jasin menuju ke Klebang untuk berniaga,” katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

BACA JUGA:

Restoran kari berhadapan risiko gulung tikar

Nabila Razali kahwin senyap-senyap? Tular gambar ini

Jawatan kosong di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia