Kerajaan pertimbang isytihar darurat di DUN Bugaya dan Gerik

Kerajaan akan mempertimbangkan pengisytiharan darurat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya dan Gerik seperti yang dilaksanakan di Batu Sapi bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pengisytiharan itu akan dibuat berdasarkan penilaian risiko daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Berpandukan Perkara 150, Jemaah Menteri memutuskan bagi mengarahkan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) menasihati Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) untuk isytiharkan Batu Sapi sebagai darurat.

“Tindakan sama akan dipertimbangkan serta dilaksanakan di DUN Bugaya dan Gerik berdasarkan penilaian risiko oleh MKN dan KKM seperti diadakan di Batu Sapi,” katanya pada sidang Dewan Rakyat tadi.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Maslan (UMNO-Pontian) yang mahu mengetahui adakah kerajaan bercadang mengisytiharkan darurat di Bugaya dan Gerik seperti diadakan di Batu Sapi.

Katanya, kerajaan berdepan pelbagai masalah dalam melaksanakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi termasuklah kesukaran pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan MKN.

“Pelantikan petugas pilihan raya sanggup bertugas setakat 6 November lalu juga hanya seramai 143 orang berbanding seramai 837 petugas yang sepatutnya.

“KKM turut memaklumkan kekangan bagi menyediakan pegawai dan kakitangan kesihatan dalam mengendalikan pengundi di Batu Sapi yang berjumlah lebih 32,000 orang,” ujarnya

Sumber:https://www.kosmo.com.my/2020/11/24/kerajaan-pertimbang-isytihar-darurat-di-dun-bugaya-dan-gerik/

COMMENTS

Wordpress (0)