Kehadiran Honda Brio jadi ancaman buat kembar MyVi, Daihatsu Sirion

Kehadiran Honda Brio jadi ancaman buat kembar MyVi, Daihatsu Sirion

Kehadiran Honda Brio jadi ancaman buat kembar MyVi, Daihatsu Sirion. Sirion hanya RM 300 lebih mahal daripada varian tertinggi Brio di Indonesia
Tapi, Brio kalahkan jualan Sirion 16 kali lebih tinggi pada 2021
Pembeli di Indonesia ada lebih banyak pilihan dalam pasaran kereta serba baru

Daihatsu Sirion 2022 merupakan usaha terakhir bagi menarik perhatian pembeli dari bilik pameran Honda Brio di Indonesia, walaupun kedua-dua kereta ini tergolong dalam segmen yang berbeza. Brio, terutama sekali varian tingginya, dijual pada harga yang hampir sama dengan kembar Perodua Myvi itu.

Dalam pasaran dimana kenderaan 7 tempat duduk jadi raja, Brio secara konsistennya tergolong antara 10 kereta paling laris di sana setiap bulan. Malah, ia menjadi punca berakhirnya kegemilangan Toyota Avanza sebagai kereta paling laris di Indonesia pada tahun 2020 walaupun kenderaan jenis hatchback tidak digemari di Republik itu.

Menurut data jualan GAIKINDO pada 2021, Honda berjaya menjual 15,019 unit Brio RS, manakala hanya 900 unit Daihatsu Sirion terjual pada tahun sama. Oleh yang demikian, memang amat sukar bagi Sirion untuk menembusi carta top 20 kerana ia hanya boleh didapati dalam dua varian sedangkan Brio ada tujuh varian.

Brio dikategorikan sebagai Low Cost Green Car (LCGC), segmen paling kecil dari segi saiz, serupa dengan segmen A. Pesaingnya termasuklah Toyota Agya dan Daihatsi Ayla, bersaudara dengan Perodua Axia.

Harga jualan Brio adalah antara IDR 155.7 juta hingga IDR 235.9 juta (~RM 47k – RM 72k). Manakala, Sirion paling mahal berharga IDR 236.8 juta (~RM 72k) bagi varian R tertinggi; menjadikannya setaraf dengan varian tertinggi Brio iaitu RS CVT Urbanite Edition dari segi harga.

Kehadiran Honda Brio jadi ancaman buat kembar MyVi, Daihatsu Sirion

Walaupun segmennya berbeza, pembeli di Indonesia nampak gayanya tidak mengendahkan aspek ini apabila membandingkan Brio dan Sirion. Sirion boleh dikatakan satu segmen lebih tinggi di atas Brio, namun jika dibandingkan harganya yang lebih kurang sama, Honda tampil lebih menarik dan berbaloi.

Walaupun Sirion dikuasakan oleh enjin 1.3 liter yang lebih besar (95 PS/119 Nm), perbandingan janaan kuasanya dengan enjin 1.2 liter Brio (90 PS/110 Nm) tak jauh bezanya. Begitu juga dengan ukurannya dimana Sirion hanya lebih besar sedikit berbanding Brio walaupun Sirion dikategorikan sebagai hatchback segmen B yang lebih besar.

Antara kedua-dua model ini, Brio RS Urbanite Edition tampil lebih ‘sporty’ dari aspek visual berbanding Sirion. Rupa hadapannya nampak lebih garang dan ia diberi ‘spoiler’ besar di belakang berserta ‘bodykit’ lebih ranggi berbanding Sirion R.

Kalaulah Daihatsu perkenalkan ‘bodykit’ Gear Up Myvi di pasaran Indonesia, bolehkah ia beri kelebihan pada Sirion?

Ruang but Brio

Selain daripada transmisi dan saiz rim, kedua-dua hatchback ini setaraf dari segi kemudahan dan kelengkapan. Brio menawarkan antara ruang but paling besar dalam kelasnya, manakala tempat duduk Sirion boleh dilaraskan bagi memaksimakan ruang kabinnya.

Bagaimanapun, ada sebabnya mengapa Sirion sejuta rupiah (~RM 300) lebih mahal. Varian tinggi kedua-dua hatchback ini disertakan sekali dengan infotainment berskrin sentuh, namun Apple CarPlay dan Android Auto adalah kelengkapan standard di dalam Sirion sedangkan Brio RS hanya ada sambungan Bluetooth dan USB.

Honda Brio jadi punca pembeli Indonesia tak pandang pun kembar Myvi, Daihatsu Sirion 09

Perlu diingatkan yang sambungan CP/AA tiada di dalam Myvi yang menggunapakai Perodua Smart Link – hanya padan dengan peranti Android. Tapi, jangan risau, kerana Alza generasi baharu sudahpun menerima naiktaraf ini dan tak lama lagi ia akan turut ‘melarat’ ke Myvi baru.

Satu lagi kelengkapan yang ada pada Sirion tapi tiada pada Brio (mahupun Myvi) ialah penapis ion. Fungsi ini boleh diaktifkan menerusi satu punat yang dahulunya digunakan untuk fungsi lampu tinggi automatik (AHB) di dalam Myvi. Walaupun kembar Indonesianya ini tidak disertakan dengan ADAS, ia masih lagi dilengkapi dengan lebih banyak kelengkapan keselamatan berbanding Brio.

Walaupun pada trim tahap tertinggi, kelengkapan keselamatan Brio hanya pada tahap asas saja merangkumi 2 beg udara, serta ABS dan EBD. Jika dibandingkan, Sirion dilengkapi dengan 4 beg udara, kawalan cengkaman, hill-start assist, dan ISOFIX selain daripada ABS dan EBD.

Para pembeli di Indonesia memang dimanjakan dengan banyak pilihan yang pelbagai berbanding pasaran Malaysia bagi kereta baru. Walaupun Sirion mempunyai kelengkapan yang lebih banyak berbanding Brio dalam kemaskini terbarunya, ini mungkin belum mencukupi bagi melonjakkan populariti Daihatsu di Indonesia jika dibandingkan dengan kembarnya yang ‘King’ di Malaysia.

BACA:

Serpihan roket China dilapor jatuh di Laut Sulu

PPRT 2022 : Ini cara daftar dan syarat kelayakan

Aksi ‘lucah’ Aliff Syukri atas katil ini undang kecaman ramai