Kecoh pejabat SUK Kelantan tak bayar gaji cleaner

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) menafikan laporan mendakwa seramai 20 tukang cuci dan pekerja pembersihan di Kompleks Kota Darulnaim tidak dibayar gaji sejak Mac lalu.

Bahagian Pengurusan Korporat berkata, perkara itu tersebar dalam TikTok akaun Kelantan Problem bertajuk ‘Kelantan tak mampu bayar gaji tukang cuci pejabat SUK negeri?’.

Katanya Pejabat SUK menafikan laporan yang tidak benar, malah boleh memberi imej tidak baik kepada kerajaan negeri sedangkan perkhidmatan tersebut dibuat menerusi syarikat dilantik melalui proses tender.

“Mengikut semakan rekod semasa, tiada bayaran perkhidmatan tertunggak kepada pihak syarikat kerana kami sentiasa membuat bayaran bulanan perkhidmatan sebagaimana terma-terma kontrak.

“Semakan juga dibuat ke atas semua jabatan dan agensi negeri dan didapati tiada masalah tunggakan bayaran perkhidmatan tukang cuci dan kerja-kerja pembersihan kepada syarikat terbabit,” katanya pada kenyataan hari ini.

Sebelum ini ada laporan mendakwa seramai 20 tukang cuci dan kerja pembersihan mengalami kesukaran hidup kerana gaji mereka tidak dibayar sejak Mac lalu.

Baca : “Hamidin kena berundur kalau ada integriti”