Kak KM ‘block’ ibu sendiri dalam Instagram

Kak KM ‘block’ ibu sendiri dalam Instagram. Usahawan kosmetik kontroversi, Liana Rosli atau Kak KM terpaksa menyekat ibunya, Normah Damanhuri dalam Instagram bagi mengelakkan wanita kesayangannya itu murung.

Katanya, dia pernah beberapa kali mengambil pendekatan sedemikian supaya ibunya tidak tahu mengenai status atau video promosi baharu yang menerima kecaman netizen.

“Saya jenis tak baca komen tapi saya tahu orang terdekat macam mak dengan adik-beradik terkena tempias kalau perkongsian didakwa sensasi.

“Biasanya mak pantau dan jadi orang pertama hubungi saya kalau timbul isu. Dia suka baca komen walaupun saya kerap ingatkan supaya jangan peduli. Dia tak menangis, cuma muka jadi sayu dan tampak murung.

“Mak akan telefon dan cakap apa ni sayang (panggilan Kak KM)? Berhentilah buat video macam itu. Tengok, mak yang kena kecam. Jadi bagi elak dia risau, saya terus ‘blocked’ daripada tengok status saya.

“Mak dah jalankan tanggungjawab menegur, bukan tak pandai jaga anak seperti kecaman orang. Saya yang degil sebab sebagai peniaga produk kewanitaan saya tahu kerja saya. Tak nampak mana lucahnya. Pakai kebaya pun dikata lucah,” katanya kepada Kosmo! Online.

Usahawan produk kecantikan dalaman wanita itu ditemui pada majlis tayangan filem 3 Janda Melawan Dunia yang membariskan ibunya sebagai teraju utama bergandingan dengan Raja Azura, Rosnah Mat Aris dan Norman Hakim.

Kak KM yang juga ibu kepada empat anak turut mengakui strategi ‘panas’ untuk mempromosi produknya memberi tempias terhadap ibu tercinta yang dikenali ramai sebagai anak seni.

Ulas Kak KM lagi, mereka menjadikan insan terdekat dengannya sebagai sasaran berikutan geram selepas dia sendiri tidak menghiraukan setiap komen negatif yang ditinggalkan.

“Saya orang berniaga, saya buat apa yang patut sebagai strategi pemasaran. Saya dengan cara saya. Apa yang saya kongsikan ikut kesesuaian dengan produk untuk wanita, tapi orang pula fikir lucah.

“Lebih baik saya tak layan kecaman kerana saya tak mahu cari musuh. Lagipun bagi saya video yang viral bukan mendatangkan dosa, tapi disebabkan produk itu sendiri khusus buat dalaman wanita.

“Kecam macam mana pun, saya masih berbuat baik dengan mereka, tak perlu balas semua komen negatif tu. Jumpa orang yang kenal saya di luar disebabkan isu viral ini pun saya layan baik.

“Malah ada seorang pengikut laman sosial yang saya jumpa di luar mendakwa dulu dia benci tapi lama- lama berubah kepada sukakan saya,” tambah wanita berusia 40 tahun itu.

Terdahulu, video pemasaran produk usahawan itu sering mencetuskan kontroversi apabila didakwa memuatkan kandungan video melampau.

Dalam perkongsian terbaharu, dia memaparkan gelagat anak-anaknya menggulung dan menghisap rokok daun yang dikatakan tanpa tembakau di sebuah acara keluarga.

Sebelum itu Kak KM juga pernah berkongsi video menyusukan anak bongsunya yang masih berusia tiga bulan tanpa bertutup di sebuah tempat makan awam hingga mencetuskan polemik.

Sementara itu, ditanya berkenaan sokongan beberapa individu yang meminta pihak berkuasa memanggilnya untuk siasatan seperti kes pelakon Zul Ariffin, Kak KM sedia bagi kerjasama.

Katanya, tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana yakin tidak membuat sebarang kesalahan membabitkan perundangan negara.

“Mungkin orang itu masih tak faham atau memang kurang senang dengan saya. Apa pun saya tak buat salah, jadi saya sedia sajalah. Kalau sesiapa nak datang saya hadap saja,” katanya lagi.

BACA:

Ini bayaran sebenar bonus aidilfitri untuk pekerja Selangor mengikut kategori

Waspada jika anak ada enam tanda ini, sah kena penyakit virus ‘kawasaki’

Lan Pet Pet jauhkan diri dari Senario, Yaasin mohon maaf..

COMMENTS

Wordpress (0)