Jiran cerita detik 3 beradik dipercayai maut terkena renjatan elektrik dalam banjir

Jiran cerita detik 3 beradik dipercayai maut terkena renjatan elektrik dalam banjir

Jiran cerita detik 3 beradik dipercayai maut terkena renjatan elektrik dalam banjir. Tiga beradik yang maut dipercayai terkena renjatan elektrik di Kampung Bendang Surau, Morak di sini, keluar di sekitar rumah mereka untuk melihat banjir.

Dalam kejadian jam 11.45 pagi tadi, mangsa, Nor Syazwani Mohd Nazir, 33, Sakinah, 29, dan Nurul Fatiah, 27, maut di lokasi kejadian.

Menurut jirannya, Che Zahiyah Che Yaakob, 53, dia melihat tiga beradik itu berjalan melintasi rumahnya dan sempat bertanya ke mana mereka ingin pergi sebelum dijawab Nor Syazwani yang mereka ingin melihat tali air di hadapan rumah.

“Nor Syazwani pegang pada tiang rumah saya dan tiba-tiba dia terus terjatuh sebelum badannya menjadi kejang dan tersentak sebelum Fatiah yang berada di belakang cuba membantu namun turut mengalami keadaan yang sama.

“Sakinah yang berjalan di hadapan mereka berpatah untuk membantu dan turut terjatuh serta kejang seperti dua beradik itu.

Jiran cerita detik 3 beradik dipercayai maut terkena renjatan elektrik dalam banjir

“Saya terus menjerit memanggil ahli keluarga lain dan suami segera mengambil kain sebelum cuba menyentuh salah seorang dari mereka dan turut terasa aliran elektrik menyebabkan dia berundur,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Che Zahiyah berkata, penduduk kampung segera menghubungi bomba dan polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, ibu mangsa, Zainun Sulaiman, 62, berkata, ketiga-tiga anak perempuannya itu masih belum berumahtangga dan sangat rapat.

Katanya, pagi tadi, Nor Syazwani dan Nurul Fatiah yang mana kedua-duanya adalah guru tadika agama di dua premis berasingan sempat memasak nasi goreng dan membuat cucur untuk sarapan sebelum melakukan kerja rumah lain.

“Sakinah pula kurang sihat serta berasa sakit dada dan dia ada berkata mungkin dia nak mati disebabkan sakit itu namun saya memarahinya sambil memberitahu ia sakit biasa saja.

“Ketika sedang berehat di ruang tamu, saya terdengar bunyi bising seperti orang menjerit di rumah jiran bersebelahan dan keluar untuk melihat apa yang berlaku.

“Saya ternampak tiga anak perempuan terbaring di dalam air sebelum diberitahu mereka sudah meninggal dunia kerana renjatan elektrik,” katanya.

Ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Morak sebaik proses itu selesai.

BACA:

Kapal Tentera Laut karam, 31 anak kapal dilapor hilang

Majoriti kukuh : Usul undi percaya PM10 lulus dengan mudah

Mangsa banjir di enam negeri meningkat kepada lebih 18,000 orang