Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT), menyuarakan rasa kecewa mereka terhadap keputusan Selangor FC (SFC)
untuk tidak hadir dalam perlawanan Piala Sumbangsih pada 10 Mei susulan beberapa isu dan insiden yang berlaku baru-baru ini.
Dalam kenyataan rasmi, JDT mengharapkan agar SFC mempertimbangkan semula keputusan mereka tersebut, mengingat Ketua Polis Negara
Dan Ketua Polis Johor telah memberikan jaminan keselamatan kepada pasukan, pemain, dan penyokong dengan menggandakan kehadiran polis sehingga 1,500 anggota.
“Kami dengan tegas mengutuk insiden yang melibatkan Faisal Halim dan ancaman yang dialami oleh beberapa individu di Selangor FC.
Namun, kami berharap agar SFC dapat mempertimbangkan semula keputusan mereka untuk tidak menghadiri perlawanan ini.
Tindakan ini boleh menetapkan ‘precedent’ yang tidak baik jika pasukan menarik diri atas alasan tidak merasa selamat, walaupun telah diberikan jaminan keselamatan oleh Polis DiRaja Malaysia.
“Kami juga ingin mengingatkan bahawa kami sendiri pernah menghadapi situasi yang ‘hostile’ di beberapa negeri seperti Pahang, Perak, dan Kelantan, tetapi kami tetap menghadiri dan bertanding dalam perlawanan yang dikawal ketat oleh pihak polis.
“Selangor belum pernah menghadapi insiden serius di Stadium Sultan Ibrahim. Malahan, pasukan dan penyokong mereka sentiasa diberi pengawalan oleh polis ke dalam stadium dan sehingga ke kenderaan mereka setelah perlawanan sebelum ini.
“Walaupun kejadian-kejadian baru-baru ini yang melibatkan Akhyar Rashid, Faisal Halim, dan Safiq Rahim merupakan perkara yang mengkhawatirkan, kita perlu meletakkan kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kes-kes ini
dan memastikan keselamatan semua pihak serta kelancaran musim bola sepak 2024-25,” kata Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards.
Sebelum ini, Malaysian Football League (MFL) telah menolak permohonan Selangor untuk menangguhkan perlawanan tersebut berikutan kejadian tidak diingini yang menimpa Faisal Halim.
BACA: Jangan tahu guna sahaja, ambil tahu maksud kod plastik yang selamat diguna semula