Jangan sensasikan kes jenayah babitkan golongan agama

Masyarakat dan pihak media dinasihatkan supaya tidak mensensasikan kes jenayah yang dikaitkan dengan golongan agama.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata, beliau perpegang kepada prinsip seseorang itu tidak dikira bersalah selagi tidak dibuktikan oleh mahkamah.

“Untuk mendakwa itu ini dan untuk melaporkan kepada pihak keselamatan sesiapa pun boleh buat.

“Nasihat saya kepada semua pihak supaya tidak mensensasikan isu ini kerana ia membabitkan soal kepentingan dan keyakinan masyarakat kepada agamawan dan institusi agama itu sendiri.

“Jadi kena berhati-hati,” katanya kepada media selepas Majlis Pengagihan Bantuan Musim Tengkujuh kepada Nelayan dan Petani di DUN Panchor, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian sejak kebelakangan ini yang membabitkan golongan agama termasuk pengetua sekolah agama dan ustaz.

Ahmad Marzuk berkata, perkara yang buruk seperti itu sebolehnya tidak perlu dihebohkan supaya tidak menjadi ikutan kepada individu lain.

“Jadi tak perlu kita jadikan bahan untuk melariskan berita kerana ia mendorong manusia lain untuk buat sama. Islam ajar kepada kita untuk tutup perkara-perkara yang boleh buatkan orang cuba nak tahu dan cuba nak buat.

“Sebab itu kalau kita tengok apabila keluar saja berita sesuatu isu, ia akan jadi macam satu kluster, keluar pula rentetan isu-isu berkaitan,” katanya

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/655136/jangan-sensasikan-kes-jenayah-babitkan-golongan-agama

COMMENTS

Wordpress (0)