Jangan harap PH menang di Melaka – Idris Ahmad

Jangan harap PH menang di Melaka – Idris Ahmad

PAS berikrar tidak akan membiarkan Melaka kembali ke tangan Pakatan Harapan (PH) menjelang pilihan raya negeri (PRN) 20 Nov ini, kata Naib Presidennya, Idris Ahmad.

“Pendirian kita untuk pastikan PH tidak berkuasa balik di Melaka,” katanya ketika ditemui sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat Wilayah Persekutuan.

Melaka ditadbir PH selepas gabungan itu menewaskan Barisan Nasional (BN) pada dalam pilihan raya umum ke-14 yang lalu (PRU14).

Pada 2 Mac tahun lepas, BN Melaka mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu menerusi gabungan bersama Bersatu selepas mempunyai sokongan majoriti 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Dalam pada itu, Idris juga memberi gambaran hubungan baik PAS dengan Umno menerusi pentas Muafakat Nasional tidak akan terkubur menjelang PRN Melaka.

“Mesyuarat MKT (Majlis Kerja Tertinggi) tak kata pun macam tu? Kita pakai yang rasmilah. Jangan cuba pecah-belahkan kami,” katanya mengulas pendirian Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu akan bergerak secara solo bawah panji BN pada PRN itu.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menggesa semua pihak tidak membuat andaian mengenai kerjasama tiga parti – Umno, PAS dan Bersatu, dalam isu pembahagian kerusi.

“Itu tak berlaku lagi, janganlah andai-andaikan,” katanya ketika mengulas pandangan beberapa pihak bahawa PAS dan Bersatu akan kalah teruk jika menyisihkan Umno dalam PRN Melaka.

Pada 12 Okt lalu, Zahid dalam program bual bicara bertajuk “PRU15: Membentuk atau Membina Arus” berkata, kerjasama dalam MN berkemungkinan tidak dapat direalisasikan dalam PRN Melaka sekiranya ia diadakan kelak kerana kerjasama itu tidak pernah didaftarkan secara rasmi.

“Biarlah Umno bertanding dengan panji-panji BN secara solo, InsyaAllah rakyat akan memilih parti yang terbaik,” katanya.

COMMENTS