Jamal Abdillah rugi RM2 Juta kena scam

Penyanyi, Datuk Jamal Abdillah, 65, mendakwa kerugian RM2 juta akibat kegagalan syarikat pelaburan disertai membayar dividen dan memulangkan semula wang pelaburan kepadanya.

Penyanyi legenda itu meminta kerajaan bertindak tegas terhadap syarikat pelaburan berkenaan yang didakwa cuba lari daripada tanggungjawab.

Menurutnya, laporan sudah dibuat kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun sehingga kini perkara ini belum difailkan di mahkamah.

“Sebelum itu, saya sudah buat semakan di Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM) dan mendapati memang syarikat itu wujud kerana ramai membuat pelaburan dengan dijanjikan dividen antara lapan hingga 12 peratus setahun.

“Saya tertarik dan melabur kira-kira RM2 juta. Tahun pertama, kedua dan ketiga pembayaran dividen berjalan lancar. Masuk tahun keempat ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka tak dapat nak bayar.

“Sampai sekarang sudah nak masuk tujuh tahun, ia masih belum selesai. Saya sudah buat laporan polis dan pegawai mengendalikan kes sudah bertukar antara tiga dan empat orang, tapi masih belum difailkan di mahkamah,” dakwanya.

Jamal mendakwa, laporan dibuat di Bukit Aman dan Shah Alam tetapi masih tiada apa-apa tindakan dari Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

Baca : “Lemah budak U sekarang”, pelajar sebar surat layang stress assigment banyak