Isu telur perlu penyelesaian segera daripada kerajaan

Isu telur perlu penyelesaian segera daripada kerajaan

Isu telur perlu penyelesaian segera daripada kerajaan. TELUR rosak, telur habis, telur mahal, telur tidak ada bekalan. Isu telur kini menjadi penyakit yang semakin melarat, malah mempunyai kolumnnya sendiri di dalam dada akhbar susulan rungutan rakyat.

Namun, pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu memberi harapan baharu buat rakyat yang menantikan perubahan, bukan sahaja dalam sistem pentadbiran, inflasi global, skandal korupsi tetapi mencakupi butir telur di setiap rumah.

Beberapa hari lalu, perubahan awal mulai dirasakan apabila rakyat di Pulau Pinang yang sebelum ini sering berdepan dengan krisis telur mendakwa bekalan telah banyak di pasaran dan para peniaga juga mengaitkan perubahan itu dengan pembentukan baharu kerajaan perpaduan.

Namun, keadaan itu seperti di luar bagai madu, di dalam bagai hempedu apabila ramai pengguna mendakwa telur yang dibeli mereka sebenarnya stok lama yang hanya bertahan dua hingga tiga hari sahaja.

Rakyat terus ditekan kerana bukan sahaja perlu mengeluarkan duit untuk membeli telur pada harga standard, tetapi barang yang dibeli pula tidak berkualiti.

Isu telur perlu penyelesaian segera daripada kerajaan

Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM), Azlin Othman berkata, kerajaan baharu perlu bersikap telus dalam menjelaskan kepada rakyat mengenai situasi semasa pasaran telur.

“Pengguna hanya mendapat maklumat isu bekalan telur ini melalui laporan media, namun adakah perkara ini benar-benar berlaku disebabkan peladang menjual ayam penelur lebih awal kerana tidak mampu menampung kos dedak.

“Ataupun ada segelintir peladang, pembekal dan peruncit yang mengehadkan jualan.

“Ada juga aduan daripada pengguna mendakwa harga jualan telur ayam kini mencecah sehingga 63 sen sebiji, berban­ding gred kawalan harga iaitu gred A 45 sen sebiji, B (43 sen) dan C (41 sen),” katanya.

Sehubungan itu, katanya, satu penjelasan lebih terperinci perlu dilakukan oleh kerajaan supaya rakyat lebih memahami dan dapat bersama-sama membantu menyelesaikan isu ini.

“Rakyat berharap dapat keluar daripada krisis telur dan sebagai kerajaan, agensi berkaitan perlu lebih progresif dan agresif dalam penguatkuasaan.

“Sebagai rakyat, kita boleh membantu kerajaan dengan memainkan peranan termasuk membuat aduan atau melaporkan sebarang ketirisan,” katanya.

Sehingga 27 November lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (kini Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) merekodkan sebanyak 153 kes peniaga menjual telur ayam melebihi harga maksimum.

Kenaikan itu didakwa berpunca daripada pembekal yang mengenakan caj tambahan dua sen setiap biji telur bagi kesemua jenis gred.

Ujar Azlin lagi, justeru kerajaan perlu meneliti semua peringkat dan rantaian bekalan untuk mengesan sebarang keculasan, manipulasi atau pengehadan yang disengajakan demi mengaut

keuntungan berganda di saat negara mengalami peningkatan kos sara hidup.

“Isu ini bukan sahaja menjejaskan produktiviti harian, namun memberikan kesan jangka panjang terutama kepada kumpulan usahawan yang menggunakan telur dalam produksi mereka.

“Peniaga terpaksa mengurangkan jumlah serta kepelbagaian menu mahupun keluaran produk dan ini secara tidak langsung menjejaskan jenama yang dibina dalam mendapatkan kepercayaan pembeli,” katanya.

BACA:

Menteri KDN akan jumpa PM bincang isu RM600 bilion

Anwar ambil gaji Menteri Kewangan? Ini fakta sebenar

Suara misteri tiba-tiba muncul dalam rakaman video waktu lawat rumah Mahsuri