Gara-gara enggan menyambut hari jadi isteri di luar negara, seorang lelaki ditemui tidak sedarkan diri di dalam rumahnya pada Jumaat lalu.
Disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, lelaki berusia 36 tahun itu disyaki mengalami pendarahan yang terlalu banyak akibat ditumbuk oleh isterinya sendiri.
Malah, tumbukan wanita yang baru dikahwininya pada enam tahun lalu itu dikatakan begitu kuat sehingga menyebabkan beberapa batang gigi lelaki berkenaan patah.
Bukan itu sahaja, hidung milik ahli perniagaan dalam industri pembinaan tersebut turut patah dalam tragedi berdarah yang berpunca daripada pertelingkahan mulut.
Pergaduhan pasangan itu bermula apabila sang suami enggan membawa isteri iaitu Renuka melancong ke Dubai, Emeriah Arab Bersatu (UAE) untuk meraikan hari jadi.
Akui Renuka, ahli perniagaan yang dikenali sebagai Nikhil Khanna itu juga langsung tidak memberikan hadiah mahal pada hari jadi dan ulang tahun perkahwinan mereka.
Pegawai kanan dari Balai Polis Wanwadi berkata, tragedi mengejutkan itu berlaku di kawasan perumahan Wanwadi, Pune yang terletak di daerah Maharashtra, India.
Renuka telah ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes terhadap wanita berusia 38 tahun itu didaftarkan polis di bawah IPC Seksyen 302, lapor The Times of India.
“Mengikut siasatan, pasangan itu bergaduh kerana Nikhil enggan membawa Renuka ke Dubai untuk meraikan hari lahirnya dan tidak memberikan hadiah mahal pada hari jadi dan ulang tahun mereka.
“Renuka juga kecewa kerana Nikhil tidak memberikan sambutan yang menggalakkan terhadap hasratnya untuk pergi ke Delhi bagi menyambut hari jadi bersama sanak saudara.
“Kesan tumbukan itu sangat kuat sehingga hidung dan beberapa gigi Nikhil patah. Dengan pendarahan yang banyak, Nikhil tidak sedarkan diri,” katanya memetik laporan The Times of India.
Insiden itu disedari oleh bapa Nikhil yang tinggal di kediaman sama setelah terdengar bunyi kuat sebelum melihat anaknya terbaring tidak sedarkan diri di atas lantai.
Menurut warga emas berusia 66 tahun yang bernama Pushparaj itu, anak dan menantunya sering bergaduh akhir-akhir ini mengenai perkara kecil termasuklah isu hari jadi.
Difahamkan, pihak polis segera bergegas ke tempat kejadian selepas jiran pasangan berkenaan menghubungi mereka untuk membuat laporan.