Inspektor mengaku tidak bersalah terima suapan

Inspektor mengaku tidak bersalah terima suapan

Seorang pegawai polis berpangkat inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas pertuduhan menerima rasuah membabitkan wang tunai RM1,500 tiga tahun lalu.

Tertuduh, Firdaus Khalid, 37, yang bertugas sebagai inspektor risikan di Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim S Indra Nehru.

 

Mengikut pertuduhan, Firdaus didakwa telah menerima suatu suapan berjumlah RM1,000 hingga RM1,500 daripada seorang individu berusia 36 tahun di Bahagian Siasatan Jenayah Balai Polis Kampung Tawas dalam daerah Kinta pada 24 Jun 2019.

Ia sebagai dorongan untuk tertuduh sebagai pegawai badan awam menyediakan laporan pakar judi yang negatif bersabit satu kertas siasatan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Wahida Jalaluddin menawarkan jaminan RM20,000 selain tertuduh perlu melaporkan diri sebulan sekali ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat.

Tertuduh diwakili Peguam Mohamad Salihen Mastor memohon jaminan dikurangkan antara RM5,000 hingga RM8,000.

Menurut Mohamad Salihen, anak guamnya yang masih bertugas itu memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan selain masih perlu menanggung ibu bapa, isteri yang tidak bekerja serta tiga anak.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Mei depan sebagai sebutan semula kes.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/124082/BERITA/Semasa/Inspektor-mengaku-tidak-bersalah-terima-suapan-RM1500

COMMENTS