Ini senarai 9 negara bakal berdepan nasib seperti Sri Lanka

Ini senarai 9 negara bakal berdepan nasib seperti Sri Lanka

Ini senarai 9 negara bakal berdepan nasib seperti Sri Lanka. Krisis ekonomi yang berlaku di Sri Lanka menyaksikan pentadbiran negara ini lumpuh dengan rakyat terpaksa menanggung pelbagai kesukaran.

Usaha Colombo untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) juga berdepan jalan sukar berikutan kemampuan negara ini untuk membayar semula hutang yang dimiliki sebelum ini.

Namun, Sri Lanka bukanlah satu-satunya negara yang berdepan krisis ekonomi berikutan perang yang berlaku di Ukraine kerana situasi sama boleh berlaku di sejumlah negara lain.

Berdasarkan laporan Kumpulan Tindak Balas Krisis Global dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 1.6 bilion orang di 94 buah negara berdepan sekurang-kurangnya satu dimensi krisis makanan, tenaga dan sistem kewangan.

Selain itu, kira-kira 1.2 bilion daripada mereka tinggal di negara yang ‘goyah sistem ekonomi’ dan sangat terdedah kepada krisis kos sara hidup serta krisis jangka panjang yang lain.

Bank Dunia menjangkakan pendapatan per kapita di negara membangun bakal menjadi lima peratus di bawah tahap prapandemik tahun ini.

Ini senarai 9 negara bakal berdepan nasib seperti Sri Lanka

Berikut adalah beberapa negara yang sebelum ini sudah pun dihimpit dengan pelbagai masalah termasuk rasuah, perang saudara, rampasan kuasa oleh tentera dan bencana alam.

AFGHANISTAN

Negara ini terjerumus ke dalam krisis ekonomi yang ‘menakutkan’ sejak Taliban mengambil alih tampuk kerajaan selepas Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengundurkan diri dari negara itu pada tahun lalu.

Krisis di Afghanistan juga semakin memburuk selepas bantuan antarabangsa dihentikan kerana banyak negara belum meyakini pentadbiran Taliban, sekali mengiktiraf kerajaan pimpinannya.

Selepas kerajaan AS di bawah pentadbiran Joe Biden membekukan rizab mata wang asing negara itu yang bernilai AS$7 bilion (RM31.1 bilion), kehidupan rakyat Afghanistan menjadi lebih teruk, menyaksikan sebahagian besar penjawat awam termasuk pakar prubatan dan guru tidak menerima gaji selama berbulan-bulan.

Derita rakyat Afghanistan tidak terhenti setakat itu, satu gempa bumi kuat yang berlaku baru-baru ini meragut nyawa lebih 1,000 orang, selain kerosakan infrastruktur yang banyak.

ARGENTINA

Sekitar empat dari 10 rakyat Argentina dikategorikan sebagai penduduk miskin dan kadar inflasi di negara itu dianggarkan bakal melebihi 70 peratus tahun ini dengan jutaan rakyat bertahan menerusi program bank makanan dan bantuan kerajaan.

Selain itu, kesepakatan yang dipersetujui bersama IMF baru-baru ini untuk menstruktur semula hutang bernilai AS$44 bilion (RM195 bilion) dikritik pelbagai pihak kerana menilai langkah tersebut hanya akan melambat proses pemulihan ekonomi negara.

MESIR

Kadar inflasi Mesir meningkat hampir 15 peratus pada April lalu, menyaksikan kemiskinan membabitkan hampir satu per tiga dari 103 juta penduduknya.

Keadaan penduduk Mesir sebelum ini pun sudah dihambat kesukaran apabila banyak subsidi dipotong untuk bekalan bahan bakar, air dan elektrik.

Bank pusat pula menaikkan kadar bunga bagi mengekang inflasi dan menurunkan nilai mata wang asing, sekali gus menyulitkan negara untuk membayar hutang luar negara yang besar.

LAOS

Laos merekodkan pertumbuhan ekonomi yang baik sebelum pandemik Covid-19, namun jumlah hutangnya dilaporkan melonjak dan ‘bakal menjadi seperti Sri Lanka’.

Penurunan nilai mata wang negara itu memburukkan lagi krisis yang berlaku, malah rakyat turut berdepan kenaikan harga makanan dan kehilangan pekerjaan akibat pandemik.

LUBNAN

Negara itu dikatakan semakin hampir menerima nasib seperti Sri Lanka apabila nilai mata wangnya terus jatuh, menyaksikan rakyat berdepan kebuluran dan kekurangan bahan asas termasuk bahan api.

Pada 2019, nilai mata wang negara itu terus merudum menyebabkan rakyat melancarkan protes selama berbulan-bulan dan pada 2021, dengan nilai mata wang yang sudah menurun hampir 90 peratus, Bank Dunia menyifatkan situasi di Lubnan sebagai satu daripada yang terburuk di dunia.

MYANMAR

Ketidakstabilan politik, terutamanya ketika rampasan kuasa berlaku pada Februari tahun lalu menyebabkan negara itu ‘tidak mempunyai upaya untuk membangun’.

Sekatan Barat terhadap kepemimpinan junta tentera turut memburukkan situasi ekonomi Myanmar menyebabkan ekonomi negara itu menguncup 18 peratus pada tahun lalu.

PAKISTAN

Kenaikan harga minyak akibat perang Russia-Ukraine mendorong kenaikan harga minyak di negara itu, melebihi kenaikan harga barangan lain.

Keadaan itu menyebabkan Pakistan merekodkan lonjakan kadar inflasi lebih 21 peratus, selain nilai mata wangnya menurun sekitar 30 peratus.

TURKIYE

Kadar inflasi Turkiye melonjak 70 peratus dengan tingkat pengangguran yang tinggi.

Bagi mengatasi masalah itu, bank pusat terpaksa menggunakan rizab pertukaran asing untung menangkis krisis mata wang, selepas lira jatuh ke paras terendah sepanjang masa berbanding euro dan dolar AS pada hujung 2021.

ZIMBABWE

Berbanding negara lain, kadar inflasi di Zimbabwe melonjak lebih tinggi iaitu 130 peratus, sekali gus dibimbangi bakal mengheret negara itu mengalami hiperinflasi seperti yang berlaku pada 2008.

Kadar inflasi yang terlalu tinggi menyebabkan rakyat negara itu tidak mempercayai nilai mata wangnya, menyebabkan peningkatan permintaan dolar AS.

BACA: 

Ustaz kaitkan amalan tertentu asbab kejayaan Mat Kilau, lelaki ini beri hujah balas

Pondok usang menanti untuk roboh, nasib 7 beranak tidak menentu