Ini satu-satunya wakil pengadil Malaysia ke Piala Dunia 2026!

Pengadil dari Malaysia, Nazmi Nasaruddin telah dipilih menyertai kursus ‘FIFA World Cup Candidate 2026’ iaitu sebagai salah seorang calon pengadil utama bagi Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico pada 11 Jun hingga 19 Julai 2026.

Nazmi merupakan pengadil Malaysia pertama mengadili perlawanan AFC Champions League yang mengunakan Video Assistant Referee (VAR) iaitu ketika perlawanan antara Buriram United menentang kelab China, Zhejiang FC.

Sepanjang tahun 2023 juga, Nazmi bersama dua pembantunya iaitu Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid telah mengadili enam perlawanan AFC Champions League yang mengunakan VAR.

Ini satu-satunya wakil pengadil Malaysia ke Piala Dunia 2026!

Selain itu, Nazmi turut dijemput untuk mengadili beberapa perlawanan Liga Arab Saudi 2023.

Selaras dengan penetapan syarat oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang mana semua pengadil yang dilantik untuk perlawanan tertinggi AFC dan FIFA wajib memiliki lesen VAR, maka Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah memulakan usaha untuk memperoleh lesen pengadil VAR melalui program pintas latihan VAR.

Seterusnya, dengan kelayakan tersebut di samping prestasi cemerlang Nazmi di Piala Asia B-20 2023 di Uzbekistan pada Mac 2023 yang mana beliau dipilih sebagai pengadil Final telah membolehkan Nazmi bersama dua pembantunya, Zairul dan Arif Shamil terpilih ke Piala Asia 2023 di Qatar, baru-baru ini.

Sekali lagi sejarah tercipta apabila Nazmi bersama dua pembantunya itu telah dipilih untuk mengadili perlawanan peringkat kumpulan, Iraq menentang Vietnam dan perlawanan pusingan 16 terbaik, Uzbekistan menentang Thailand.

Selain itu, Zairul juga telah dipilih sebagai Penolong Pengadil 2 bagi perlawanan separuh akhir, Iran menentang Qatar.

Prestasi cemerlang Nazmi Nasaruddin dan dua pembantunya telah mendapat pengiktirafan daripada FIFA dan AFC, yang mana ia membolehkan Nazmi dipilih secara merit sebagai ‘FIFA World Cup Candidate 2026’.

Baca juga: Sesak teruk sampai 12 hari, ini sejarah jammed paling teruk di dunia