Seperti yang diketahui, sayur-sayuran merupakan salah satu sumber makanan terhadap manusia.
Tumbuhan hijau ini membekalkan pelbagai khasiat yang diperlukan dalam tubuh badan kita.
Oleh itu, sebahagian besar sayuran ini digunakan dalam masakan seperti ubi, kentang, labu, halia, kunyit, bayam, dan juga bawang.
Bercakap mengenai bawang, sayur ini sinonim dengan ‘air mata’ kerana sewaktu memotong atau menghiris bawang, ia membuatkan si pemotong menangis seperti sedang sedih namun sebenarnya tidak.
Pelikkan, bagaimana sebiji bawang boleh membuatkan air mata anda mengalir?
Sebenarnya, terdapat sesuatu bahan kimia yang dipanggil faktor Lakrimatori atau Lachrymatory di dalam bawang yang membuatkan anda seolah-olah menangis ketika sedang memotong bawang. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, mari kita ikuti perkongsian di bawah.
Apa itu Bawang?
Bawang merupakan sejenis sayur-sayuran dan tergolong dalam keluarga Amaryllis (Amaryllidaceae) iaitu sejenis sayur yang ditanam untuk makan. Bawang dipercayai berasal daripada Asia barat daya.
Menurut Mental Floss, ia dipercayai telah wujud sejak Zaman Gangsa dan disembah oleh orang Mesir Purba. Sehingga kini, sayur ini ditanam hampir di seluruh dunia.
Sayur ini juga mempunyai pelbagai jenis seperti bawang merah, bawang putih, bawang Holland dan banyak lagi. Bawang biasanya boleh membesar antara 75–180 sentimeter (cm).
Kebanyakan bawang yang ditanam secara komersial sebelum ia dijual di pasaran. Bukan sahaja itu, bawang sangat tahan lasak dan boleh hidup dalam pelbagai keadaan.
Ia lazimnya digunakan dalam masakan secara meluas kerana mampu menaikkan lagi aroma dalam masakan tersebut. Sebahagian tukang masak menggunakannya untuk menambah rasa pada hidangan.
Kenapa Potong Bawang Mudah Menangis?
Gambar: Bec Whetham via ABC News
Jika anda perasan, sesiapa sahaja setiap kali memotong bawang pasti akan merasakan pedih pada bahagian mata sebelum mengalirkan air mata. Sebenarnya, perkara ini berlaku adalah disebabkan oleh bahan kimia yang dikenali Lakrimatori. Bahan kimia ini akan merengsakan mata sewaktu bawang dihiris.
Menurut Doktor Farmasi di The Ohio State University, Josie Silvaroli, apabila bawang dihiris, ia mengumpulkan sebatian yang dipanggil asid sulfoksida yang disimpan secara berasingan daripada enzim yang dipanggil alliinase.
BACA JUGA: Kenapa Banyak Orang Vietnam Nama “Nguyen”?
Oleh itu, ketika si pemotong menghiris bawang, sebatian tersebut akan bercampur hingga berlaku tindak balas dari asid sulfoksida menjadi asid sulfenik.
“Asid sulfenik bersifat tidak stabil. Dalam bawang, ia boleh berubah menjadi dua. Pertama, ia akan meluap dan menjadi sebatian organosulfur. Sebatian organosulfur bersifat mengeluarkan bau dan rasa yang kuat pada bawang.
“Kedua, asid sulfenik juga adalah unik kerana ia terdapat dalam bawang dan beberapa jenis lain dalam keluarganya seperti bawang merah, bawang putih dan daun bawang.
“Hal ini kerana di dalamnya terkandung enzim yang dipanggil Lakrimatori,” katanya dalam jurnal American Chemical Society ACS Chemical Biology tentang faktor Lakrimatori.
Jelas Silvaroli, Lakrimatori atau nama lainnya syn-propanethial-S-oxide ialah sejenis enzim yang mudah meruap (dari cecair kepada gas).
Oleh itu, ia cepat meruap di udara hingga sampai ke mata (kornea) dan merengsakan ke saraf mata.
“Mata anda akan mula mengeluarkan air mata bagi menghilangkan iritasi itu,” katanya lagi.
Tambah Silvaroli, organosulfur dan Lakrimatori ini masing-masing boleh memberikan rasa pedih terhadap mata hingga merengsa lapisan pertahanan mata.
Menurut Mental Floss lagi, faktor ini berlaku sekitar 30 saat untuk membuatkan anda menangis ketika pembentukan syn-propanethial-S-oksida berlaku.
Lebih buruk lagi apabila kita menggosok mata dengan menggunakan tangan yang tersisa syn-propanethial-S-oksida.
Untuk pengetahuan, keupayaan bawang ini bertujuan untuk melindungi daripada serangan serangga, haiwan atau parasit yang menyebabkan kerosakan pada bawang