Pemain sayap lincah kebangsaan, Faisal Halim dalam satu hantaran di laman Instagramnya meluahkan rasa sedih susulan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-Gon mengumumkan telah meletakkan jawatan, lapor Stadium Astro.
Faisal dalam satu hantaran di laman Instagramnya sempat mengimbas kembali detik-detik Pan-Gon memberikannya semangat ketika beliau menjalani rawatan disimbah asid pada beberapa bulan lalu.
“Sangat sedih mendengar khabar (berita). Saya masih ingat dua bulan lepas jurulatih (Pan-Gon) datang ke hospital dan berikan sokongan serta kekuatan.
“Dan jurulatih cakap kepada saya, Faisal! Saya mahu awak kembali semula dan bangkit demi pasukan kebangsaan.
“Saya akan berikan awak (Faisal) sokongan dan percaya saya dan awak akan kembali kuat semula. Terima kasih jurulatih untuk semuanya,” kongsinya di platform berkenaan.
Sebelum ini, jurulatih kelahiran Korea Selatan itu sempat meluangkan masa bersama ayam tambatan Selangor itu selepas insiden Faisal disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Lembah Klang awal Mei lalu.
Bagaimanapun, masa depan jurulatih berusia 55 tahun itu terungkai apabila dia mengambil keputusan untuk meletakan jawatan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan meskipun kontrakya berbaki satu tahun.
Sejak 2022, Kim Pan-Gon telah membawa pelbagai impak besar terhadap skuad kebangsaan di peringkat antarabangsa antaranya membawa Harimau Malaya layak ke Piala Asia secara merit.
Hari ini SK melaporkan, Kim Pan-Gon telah mengesahkan bahawa beliau letak jawatan sebagai Ketua Jurulatih Pasukan Bola Sepak Kebangsaan Malaysia.
“Pada hari ini, saya ingin menyampaikan satu mesej yang sedih dan dukacita kepada anda semua.
“Saya telah membuat keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai Ketua Jurulatih Pasukan Bola Sepak Kebangsaan Malaysia atas sebab komitmen peribadi.
“Saya memohon maaf jika keputusan ini mengecewakan anda semua,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas yang diadakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada jam 2 petang, di Wisma FAM, Kelana Jaya.\
Sumber: Stadium Astro
Baca: Farah Kartini kawan paling pemurah, sanggup transfer duit tak dapat sambut birthday