Rambut adalah mahkota terpenting tidak kira kepada seorang lelaki mahupun wanita.
Bahagian tubuh badan ini sering dikaitkan dengan keyakinan diri yang tinggi, lebih-lebih lagi kepada lelaki yang rambutnya terdedah sepanjang masa.
Jika rambut tersalah gunting atau digayakan, lelaki boleh menjadi murung dan tidak bersemangat sepanjang hari.
Sebab itu tak hairanlah, antara perkara yang paling ditakuti lelaki adalah masalah rambut gugur sehingga menjadi botak.
Namun begitu, pernah atau tidak anda terfikir kenapa masalah botak ini hanya dikaitkan atau nampak cuma berlaku kepada lelaki sahaja?
Kenapa kejadian botak jarang berlaku kepada wanita walaupun mereka juga mempunyai rambut?
Botak jejaskan jutaan lelaki, perempuan tak terjejas sangat
Keguguran rambut bercorak atau Androgenetic Alopecia merujuk kepada keadaan keguguran rambut yang kekal dan menjejaskan jutaan lelaki berbanding wanita.
Ia bermakna, mereka yang mengalami masalah Androgenetic Alopecia akan kehilangan rambut secara kekal. Manakala kawasan kulit kepala yang terjejas tidak mampu menumbuhkan rambut yang baharu.
Menurut Harley Street Hair Transplant, semua pesakit yang mengalami masalah ini menunjukkan corak yang sama.
Doktor biasanya boleh menjejaki perkembangan keadaan ini pada lelaki dengan menggunakan Hamilton-Norwood Scale. Manakala dalam kalangan wanita pula, masalah Androgenetic Alopecia dipantau dengan Ludwig Scale.
Setakat ini, masalah kepala botak atau kehilangan rambut ini dipercayai merupakan masalah keturunan.
Dengan kata lain, secara genetiknya seseorang individu itu mungkin akan berdepan dengan masalah botak sekiranya masalah itu pernah dihadapi oleh ibu atau bapanya.
Menurut Harley Street Hair Transplant lagi, tiada cara atau rawatan yang dapat menghentikan masalah botak daripada berlaku.
Namun, seseorang itu boleh menjalani pembedahan pemindahan rambut atau implant.
Lelaki lebih ramai botak berbanding wanita
Dalam satu artikel yang diterbitkan oleh Men’s Health Forum (2022), mereka mencadangkan bahawa kira-kira 66 peratus lelaki akan menghadapi masalah rambut gugur.
Angka berkenaan bagaimanapun jauh lebih rendah dalam kalangan perempuan.
Manakala American Hair loss Association mendapati Androgenetic Alopecia menyumbang kepada kira-kira 95 peratus masalah keguguran rambut pada lelaki.
NHS pula mendapati Androgenetic Alopecia hanya menyumbang kira-kira 30 peratus masalah rambut gugur yang dihadapi wanita
Faktor keguguran rambut yang berlaku pada seorang lelaki
Menurut Harley Street Hair Transplant, statistik menunjukkan masalah keguguran rambut pada lelaki hingga menjadi botak mungkin disebabkan oleh faktor genetik.
Keadaan ini tidak boleh dicegah biarpun mereka mengamalkan gaya hidup sihat dan sebagainya.
Selain itu, corak rambut gugur yang dihadapi lelaki juga menunjukkan rambut itu gugur secara kekal dan tidak akan tumbuh semula.
Berbeza dengan wanita, masalah keguguran rambut yang dihadapi biasanya berpunca daripada alopecia areata, masalah kekurangan vitamin dan tekanan hidup.
Punca-punca ini pula hanya menyebabkan masalah keguguran rambut sementara dan boleh dirawat semula.
Faktor utama kenapa lelaki lagi ramai botak berbanding wanita
Seperti yang dibincangkan tadi, 95 peratus masalah keguguran rambut yang berlaku pada lelaki berpunca daripada Androgenetic Alopecia.
Selain itu, masalah keguguran rambut juga berlaku berpunca daripada penghasilan hormon dalam badan yang disebut dihydrotestosterone (DHT).
Hormon ini mengikat pada bahagian folikel rambut dan menyebabkan bahagian itu mengecut serta tidak akan tumbuh lagi.
Kesannya, rambut mula menipis dan juga membawa kepada masalah keguguran.
Oleh kerana lelaki cenderung untuk mempunyai paras hormon testosterone (dan hasilnya, DHT) lebih tinggi berbanding wanita, ia mungkin menjelaskan mengapa lelaki lebih ramai botak berbanding wanita.
Dengan kata lain, jika paras DHT dalam badan anda tinggi, anda cenderung untuk mengalami masalah rambut gugur.
BACA: Ruhainies dah tak tahan kena fitnah, “dunia dah terlalu tenat”