Individu lengkap vaksinasi dibenarkan rentas negeri mulai esok – Ismail Sabri

Individu lengkap vaksinasi dibenarkan rentas negeri mulai esok – Ismail Sabri

Sempadan negeri di seluruh negara dibuka serentak mulai esok, selepas kadar vaksinasi populasi dewasa melepasi 90%, kata Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

“Dengan keputusan ini, Keluarga Malaysia bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang telah lama berpisah, melancong dan sebagainya,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan rakyat supaya tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran itu kerana ia mungkin menyebabkan lonjakan kes Covid-19.

Beliau menyarankan rakyat melakukan ujian Covid-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan.

“Bagi mereka yang bergejala seperti demam, batuk, selsema dan sesak nafas, saya nasihatkan anda tangguhkanlah dahulu perjalanan.

“Sekiranya anda didapati positif, kuarantin diri atau hubungi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) berhampiran untuk mendapatkan rawatan segera.”

Katanya, hanya individu yang divaksin sepenuhnya dibenarkan merentas negeri dan pihak berkuasa akan melakukan pemeriksaan rambang terhadap status vaksinasi.

Sementara itu, Ismail berkata, kerajaan bersetuju membenarkan rakyat melakukan perjalanan ke luar negara tanpa menggunakan MyTravelPass Jabatan Imigresen Malaysia bermula esok.

Bagaimanapun, katanya, pengembara masih perlu menjalani kuarantin wajib sebaik pulang ke tanah air.

“Keputusan pemansuhan ini antaranya untuk menghubungkan ahli keluarga dan pasangan yang terpisah, rakyat Malaysia yang ke luar negara bagi tujuan bekerja dan mereka yang menjalankan urusan perniagaan.

“Bagaimanapun, kebenaran ini tertakluk kepada individu yang lengkap divaksin.”

Ini adalah kali pertama pergerakan rentas negeri dibenarkan tanpa memerlukan kebenaran polis sejak 11 Jan lalu. Sempadan negara pula ditutup kepada kebanyakan pengembara sejak permulaan pandemik pada Mac tahun lalu.

COMMENTS