Hospital Ipoh sahkan Eina Azman dan suami diberikan vaksin kerana berisiko tinggi

Hospital Ipoh sahkan Eina Azman dan suami diberikan vaksin kerana berisiko tinggi

Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ippoh mengesahkan tiada kejadian memotong barisan dilakukan pelakon Eina Azman dan suaminya sewaktu pasangan terbabit mengambil vaksin.

Menurut Pengarah HRPB, Dr Abdul Malek Osman, pasangan tersebut dirujuk ke hospital terbabit oleh doktor pakar yang merawat mereka atas alasan penyakit dan komorbid yang dihadapi.

“Tiada isu potong barisan dalam pemberian suntikan vaksin.

“Pasangan itu dimasukkan ke senarai penerima vaksin atas nasihat doktor pakar yang merawat mereka kerana pesakit dikategorikan sebagai golongan yang berisiko tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Eina atau nama sebenarnya Ainur Syakina dan suaminya Kaiser Gurmeet Harden menerima suntikan vaksin Covid-19 pada 25 Mei lalu.

Kontroversi tercetus susulan orang ramai mempertikaikan bagaimana Eina, 26, dan suami mendapat kelebihan apabila menerima suntikan vaksin lebih awal berbanding orang lain.

Asalnya suntikan vaksin tersebut tidak diketahui ramai namun menjadi tular dan dipersoalkan selepas Eina memaklumkannya melalui perkongsian di Instagram.

Ia mengundang kecaman apabila warganet mendakwa Eina memotong giliran pengambilan vaksin sekali gus melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 yang berkuatkuasa dari 25 Mei hingga 7 Jun ini.

Namun, posting itu dipadam sejurus tular.

Tidak dapat dipastikan apakah masalah kesihatan yang dialami pasangan terbabit sehingga mereka dianggap tergolong sebagai individu berkomorbiditi dan berisiko tinggi untuk dijangkiti Covid-19.

COMMENTS