Haruan makan anak’ antara punca kehamilan remaja di Sarawak

Jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan remaja antara punca berlaku kehamilan remaja di bawah umur 15 tahun di Sarawak.

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah, sepanjang 2020, 130 kes kehamilan yang direkodkan membabitkan mereka yang berusia 10 hingga 15 tahun.

“Bagi remaja berumur 16 hingga 17 tahun, kami merekodkan 595 kehamilan.

“Ini bererti, peratusan kumulatif bagi kanak-kanak dan remaja hamil di Sarawak dalam kumpulan umur 10 hingga 17 tahun pada 2020 adalah 34.5 peratus,” katanya pada sidang media mengenai Kehamilan Remaja dan Isu Jenayah Seksual di Sarawak hari ini.

Menurut Fatimah, berdasarkan statistik daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, 31 kes mangsa jenayah sumbang mahram yang hamil direkodkan antara 2015 hingga tahun ini.

Fatimah berkata, dua daripada kes itu membabitkan individu bawah umur 12 tahun, 18 kes berumur 13 hingga 16 tahun, lima kes berusia 17 hingga 18 tahun dan enam kes berumur 19 tahun ke atas,” katanya.

Kuching merekodkan jumlah tertinggi iaitu lapan kes, diikuti Sri Aman, Sibu, Miri dan Samarahan yang masing-masing merekodkan tiga kes.

Pada masa sama, menurut Fatimah, secara keseluruhan, 119 kes mangsa jenayah sumbang mahram direkodkan di Sarawak sejak 2015.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 21 kes membabitkan individu di bawah umur 12 tahun, 68 kes berumur 13 hingga 16 tahun, 20 kes berusia 17 hingga 18 tahun dan 10 kes berumur 19 tahun ke atas.

“Kuching merekodkan jumlah kes mangsa jenayah sumbang mahram yang tertinggi iaitu 33 kes, diikuti 18 kes di Miri, 13 kes di Samarahan, 11 kes di Sibu, masing-masing sembilan kes di Bintulu dan Betong serta masing-masing enam kes di Serian juga Limbang.

“Berdasarkan hubungan antara mangsa dan pelaku kes rogol sejak 2015 pula, rekod menunjukkan 45 kes membabitkan bapa kandung, 25 kes membabitkan bapa tiri, satu kes anak sendiri manakala 19 kes membabitkan datuk,” katanya.

Selain itu, 30 kes pula membabitkan bapa saudara, enam kes adalah abang ipar, 10 kes adalah abang kandung, 444 kes membabitkan teman lelaki, 283 kes membabitkan individu yang dikenali selain 55 kes membabitkan individu tidak dikenali.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/02/670841/haruan-makan-anak-antara-punca-kehamilan-remaja-di-sarawak

COMMENTS

Wordpress (0)