Paling Murah RM2.08 Juta, Ini Fakta Kereta “Handmade” Mewah Rolls Royce Yang Tular
Baru-baru ini, Arab Saudi berjaya mengejutkan pengkritik dan peminat sukan bola sepak apabila berjaya menundukkan pasukan yang mempunyai ramai pemain bertaraf bintang daripada benua Amerika Selatan iaitu Argentina dengan skor 2-1 dalam pentas Piala Dunia 2022.
Susulan daripada kemenangan bersejarah itu, tersebar khabar angin Putera Saudi menjanjikan sebuah kereta mewah buatan tangan jenama Rolls Royce Phantom kepada setiap pemain pasukan Arab Saudi.
Walau bagaimanapun, dalam laporan New York Post, khabar angin itu sebenarnya tidak benar. Ianya disahkan sendiri oleh jurulatih pasukan Arab Saudi iaitu Herve Renard.
“Ianya tidak benar. Kami ada Kementerian Sukan yang sangat telus dan ini bukanlah masa yang sesuai untuk dapat apa-apa. Kami baru sahaja bermain satu perlawanan, ada dua lagi perlawanan penting dalam peringkat kumpulan dan kami mengharapkan lebih dari ini,” ujarnya.
Peminat kereta pastinya tahu bahawa harga kereta jenama yang eksklusif ini tersangatlah mahal. Kenapa ianya sangat mahal? Mana tidaknya, ia merupakan sebuah hasil seni buatan tangan dengan penghasilan sekitar 3,000 hingga 5,000 unit Rolls Royce sahaja setiap tahun. Setiap komponen dan hiasan dalaman kereta ini dijahit dan dipasang sendiri oleh pekerja mereka yang mempunyai kepakaran tinggi.
Proses jahitan kemasan kereta
Ini menjadikan kereta itu tersangat eksklusif untuk dimiliki kerana tidak ramai orang yang boleh membelinya berbanding dengan kereta-kereta biasa. Malah, harga yang paling ‘murah’ bagi kereta jenama ini pun sudah mencecah sekitar RM2.08 juta dan yang paling mahal pula adalah RM14.6 juta.
Lebih eksklusif dan istimewa kereta Rolls Royce ini berbanding jenama lain adalah, setiap pembeli berpeluang untuk custom sendiri mengikut citarasa yang diingini. Daripada warna kereta, warna rekaan dalaman sehinggalah ke bentuk rim tayar. Semuanya boleh dipilih sebelum sampai ke tangan pembeli. Berbeza dengan kereta lain yang sudah pun siap dipasang dan hanya terdapat dalam bentuk dan warna yang dikeluarkan di kilang sahaja.
World Cup edisi kali ini bermula dengan agak sengit dan penuh kejutan. Mana tidaknya, selain Arab Saudi yang berjaya menundukkan pasukan ‘otai’ (Argentina), Maghribi juga pada baru-baru ini turut melakar sejarah apabila berjaya menjinakkan pasukan Belgium.
Baca juga:“Boleh kerja di Bank Konvensional tapi..” – Mufti