Haram sebar berita palsu! – Mufti Kedah

Umat Islam yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 dinasihatkan tidak menyebarkan berita palsu khususnya membabitkan soal hukum penggunaan bahan berkenaan.
Mufti Kedah Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, setiap individu mempunyai hak untuk membuat keputusan sama ada mahu menerima atau tidak suntikan itu.
Bagaimanapun, menurutnya, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam serta mufti-mufti di seluruh negara sudah memutuskan hukum penggunaan vaksin berkenaan adalah harus berdasarkan hasil penjelasan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Sekiranya terdapat unsur-unsur yang tidak halal dari sudut agama seperti penggunaan bahan-bahan binatang, kita ada satu kaedah dalam fekah iaitu istihalah.
“Apabila diproses melalui beberapa langkah peringkat yang kita sebut sebagai istihalah, maka ia sudah berubah daripada sifat asalnya, dari sudut pandangan agama ia halal dan boleh kita gunakan,” katanya.
Dalam pada itu, Fadzil menzahirkan kesediaan untuk menerima suntikan berkenaan namun meletakkan keutamaan kepada petugas barisan hadapan sebagai kumpulan terawal untuk menerima vaksin terbabit.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini menjelaskan bahawa Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil golongan ditetapkan kerajaan.
Beliau menjelaskan bahawa kerajaan akan memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara tiga fasa mulai hujung bulan ini dengan menyasarkan sebanyak 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu menerima vaksin itu yang akan diberikan secara percuma.
Fasa pertama bermula Februari hingga April untuk kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan yang terbabit secara langsung dalam memerangi wabak itu, manakala fasa kedua dari April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi selain golongan orang kurang upaya (OKU).
Fasa ketiga pula bagi golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas dari Mei ini hingga Februari tahun depan.
Sumber: Hmetro