“Hamidin kena berundur kalau ada integriti”

Tiada pihak dari luar yang mampu mendesak Datuk Hamidin Mohd Amin untuk berundur memandangkan keputusan berkenaan hanya boleh dibuat oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu sendiri.

Situasi itu diakui pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustaffa yang menyifatkan desakan daripada luar untuk memaksa Hamidin melepaskan jawatannya tidak membawa apa-apa makna kerana beliau mendapat kepercayaan daripada ahli gabungan FAM.

Ketika ditanya sama ada wajar atau tidak Hamidin meletak jawatan susulan peletakan jawatan pengendali Harimau Malaya Kim Pan Gon dan isu surat layang dalam podcast Berita Harian Online Borak Hari Ini, Sadek yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Rekreasi UiTM Shah Alam menjangkakan ahli gabungan FAM pasti tidak akan bersetuju dengan cadangan itu.

“Saya tiada kuasa mengundi kerana saya tidak berada dalam kalangan yang boleh mengundi. Jadi saya bercakap sahaja seperti menyalak bukit tetapi ini bukti orang yang berada dalam sistem tidak mahu perubahan. Kenapa saya perlu desak kerana tidak ada kesan?

“Kalau kita ada integriti, saya nak kongsikan mengenai analisis kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman (SWOT) tetapi kita lupa mengenai analisis sunnah. Kalau ada benda itu dalam roh dia dan percaya pada iman, kalau dia gagal, dia sepatutnya berundur,” kata Sadek.

Untuk rekod, podcast yang dikendalikan moderator, Asrizal Aris itu boleh ditonton menerusi saluran Youtube BH Online dengan topik perbincangannya adalah ‘Bola sepak Malaysia selepas Pan Gon tiada’ yang disiarkan hari ini.

Turut menjadi panel ialah Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Sulaiman Hussin.

Dalam perkembangan lain, Sadek turut menyifatkan keputusan drastik Pan Gon meletak jawatan seolah-olah memberi tamparan supaya badan induk itu boleh bangkit.

“FAM perlu melihat sejauh mana peranan mereka sebagai pengurus bola sepak Malaysia yang membabitkan apa sahaja peringkat usia skuad kebangsaan. Dalam konteks ini, kita lihat seolah-olah Pan Gon memberi penampar pada FAM.

“Banyak perkara yang perlu FAM lihat seperti tanggungjawab pemilik kelab yang dikatakan profesional ada alasan main tarik tali dan tidak beri peluang bermain.

“Kalau ia terus berlaku, saya bawa jurulatih dari syurga ketujuh pun takkan buat apa-apa,” katanya.

BH sedang berusaha menghubungi Hamidin yang berada di Paris untuk mengulas kenyataan Sadek.

Baca : Ini cara baru nak tahu arah kiblat