Hadi Awang, Tuan Ibrahim kekal jawatan, Sanusi tarik diri

Hadi Awang, Tuan Ibrahim kekal jawatan, Sanusi tarik diri

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengekalkan jawatan masing-masing apabila menang tanpa bertanding dalam pemilihan Muktamar Pas ke-67.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kedua-dua pemimpin terbabit mempertahankan jawatan itu menerusi pemilihan sesi 2021-2023.

Katanya bagi jawatan Naib Presiden pula, ia menyaksikan empat pencalonan termasuk seorang muka baharu bagi merebut tiga jawatan berkenaan.

“Calon-calon Naib Presiden untuk kita pilih tiga orang seterusnya dalam muktamar ini juga ditetapkan dalam perlembagaan Pas.

“Kita memilih 18 orang Ahli Jawatan Kuasa Pas Pusat dan kita menerima pencalonan yang disahkan seramai 36 orang yang akan bertanding untuk mengisi 18 kedudukan dalam Ahli Jawatan Kuasa Pas Pusat.

“Satu lagi sepatutnya diadakan pemilihan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Tetap, tapi saya disahkan tidak ada pertandingan (untuk jawatan-jawatan itu),” katanya.

Menurut Takiyuddin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad; Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki akan bertanding bagi merebut jawatan Naib Presiden parti.

Katanya, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang sebelum ini dicalonkan bagi bertanding sebagai Naib Presiden telah menarik diri daripada merebut jawatan itu.

Jelasnya bagi Ahli Jawatankuasa Pas Pusat Pula, seramai 36 calon akan bertanding bagi merebut 18 tempat.

Takiyuddin berkata Muktamar Tahunan ke-67 yang akan diadakan pada Sabtu dan Ahad ini di Kuala Terengganu akan diadakan secara hibrid.

Muktamar pada kali ini menyaksikan seramai 694 daripada 1,546 perwakilan akan hadir secara fizikal manakala selebihnya secara dalam talian.

COMMENTS