“Saya akan gunakan wang kemenangan ini ke jalan Allah SWT,” kata Dahlia Mohd Latif, 61, selepas dinobatkan sebagai jutawan Super Saver 2023 melalui cabutan khas iaitu Istimewa ‘SSi Millionaire’ Bank Muamalat Malaysia (Bank Muamalat), sebanyak RM 1 juta, di sini, hari ini.
Dahlia yang bekas guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) melahirkan rasa bersyukur kerana tidak sangka diumumkan sebagai jutawan.
“Saya menyimpan bukan niat untuk mendapat hadiah namun kerana Allah SWT. Hadiah ini adalah rezeki yang datang daripada-Nya.
“Setiap bulan saya akan menyimpan ke dalam akaun Bank Muamalat, jika ada rezeki lebih daripada pemberian suami saya akan simpan lebih sedikit,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman jutawan Super Saver dan SSi 2023 Bank Muamalat di sini, hari ini.
Dahlia berkata, dia tidak pernah terfikir untuk memenangi hadiah RM1 juta dan akan menggunakan wang itu sebaik mungkin.
Dia yang sudah menyimpan di Bank Muamalat sejak 2017 itu berkata, antaranya menunaikan ibadah umrah, bersedekah dan simpanan anak-anak.
Sementara itu, pemenang Jutawan SSi melalui cabutan khas iaitu Istimewa ‘SSi Millionaire’ dimenangi Siti Rohani Osman, 36 yang berasal dari Gurun, Kedah.
Peniaga makanan itu berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM1 juta dan menyifatkan kemenangannya itu adalah kenangan terindah sepanjang hidupnya.
“Saya membuka akaun semasa dengan bank ini sejak 2016 dan memang menjadi pelanggan setia semua produk Bank Muamalat termasuk semua kempen yang dijalankan.
“Wang ini akan saya gunakan untuk kembangkan perniagaan, selain membuat simpanan untuk anak-anak serta membantu keluarga dan mereka yang memerlukan,” katanya.
Bagi SSi 2024 Bank Muamalat menawarkan peluang dan hadiah lebih hebat dengan hadiah cabutan berupa RM1 juta bagi dua pemenang melalui kategori SSi Jutawan Hebat, manakala bagi SSi Pacuan Bergaya menyediakan tiga buah kereta iaitu Honda Civic 1.5L, Smart #1 Pro, Audi Q3 SL Line 1.4 TFSI dan pelbagai lagi.
Baca juga: Selepas 140 tahun baru siap, bangunan ini akhirnya siap dibina