Gempar!! Seorang pemandu lori membaling bom akibat cemburu ditahan

Gempar!! Seorang pemandu lori membaling bom akibat cemburu ditahan

Seorang pemandu lori ditahan kerana melakukan perbuatan khianat dengan membaling satu bom botol atau ‘molotov cocktail’ di halaman sebuah rumah dipercayai akibat cemburu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, berkata lelaki berusia 50 tahun itu ditahan di Taman Bachang Utama pada jam 10 malam iaitu kira-kira empat jam selepas suspek melakukan perbuatan berkenaan.

Beliau berkata tindakan suspek itu menyebabkan rak kasut dan bahagian bumbung kereta milik mangsa yang diparkir di hadapan rumah terbakar namun mangsa sempat memadam api berkenaan.

“Ketika kejadian, mangsa lelaki yang bekerja sebagai tukang cat berusia 49 tahun berada di dalam rumahnya sebelum mendengar bunyi letupan kuat di bahagian hadapan rumah sebelum keluar dan mendapati satu botol mengandungi minyak dipercayai petrol dibakar dan meletup di halaman rumahnya.

“Mangsa sempat memadam kebakaran itu dan melihat suspek melarikan diri dengan menaiki kereta yang diparkir berhampiran rumah mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati perbuatan khianat yang dilakukkan suspek itu dipercayai akibat cemburu dan merasa tidak berpuas hati dengan mangsa yang bercinta dengan bekas kekasihnya yang kini tinggal di rumah mangsa.

Katanya, wanita berusia 46 tahun itu yang merupakan seorang pekerja di sebuah syarikat agensi pelancongan pernah bercinta dengan suspek selama enam bulan sebelum putus.

Afzanizar berkata suspek direman lima hari hingga 20 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun. – BERNAMA

Sumber: BH

COMMENTS